News_archive

Yayasan Pahang bukti konsep 1 Malaysia

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

KUANTAN 31 Mei – Yayasan Pahang yang ditubuhkan 27 tahun lalu membuktikan amalan 1 Malaysia telah dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, penubuhan yayasan atas idea Najib itu bertujuan menyalurkan bantuan pendidikan pelajar tanpa membezakan kaum dan keturunan.

Katanya, sejak Yayasan Pahang ditubuhkan, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi meningkatkan mutu pendidikan pelajar pelbagai kaum di negeri ini.

”Bantuan berjuta-juta ringgit yang disalurkan melalui Yayasan Pahang itu tidak disasarkan mengikut kriteria kaum sebaliknya berdasarkan keperluan dan mengikut merit mereka yang memerlukan.

”Maka, jika Najib menyebut mengenai konsep 1 Malaysia, inilah antara amalan yang berjaya dilaksanakan dengan berkesan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Pesta Sukan Antara Yayasan SeMalaysia Kali Ke-10 (Pesaya X) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Adnan menjelaskan, antara contoh Yayasan Pahang mengamalkan konsep 1 Malaysia ialah menentukan pelajar yang layak menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) bernilai antara RM7,000 hingga RM8,000 setahun.

”Kita tidak memilih kaum mana yang sepatutnya menerima tetapi kita memilih siapa yang layak mendapat BKMB berdasarkan kecemerlangan akademik,” jelasnya.

Mengulas mengenai Pesaya X, beliau berkata, sebanyak 12 daripada 14 yayasan negeri menyertai pesta sukan berkenaan pada tahun ini dengan melibatkan sebanyak 12 acara dipertandingkan.

Menurut beliau, tujuan Pesaya X diadakan bukan sekadar mencari pemenang atau atlet terbaik tetapi bagi mengukuhkan tali persaudaraan di kalangan warga yayasan di seluruh negeri.

”Pertandingan bermula hari ini dan berakhir pada 6 Jun ini, maka saya harap apa yang disasarkan dalam menjayakan Pesaya X akan tercapai,” jelasnya.

Source : Utusan Malaysia

Leave a Reply