News_archive

Yakini Penuh Usaha Penyenaraian FGVH Demi Masa Depan Felda – Najib

By Friday January 6th, 2012 No Comments

KUALA KUBU BAHARU, 6 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta masyarakat Felda memberi kepercayaan penuh terhadap usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH), menyatakan ia akan memastikan masa depan mereka lebih terjamin, malahan “durian runtuh” dalam empat hingga lima bulan.

“Saya sendiri akan perhatikan supaya masyarakat Felda akan mendapat keuntungan maksimum, sebanyak mungkin dari perancangan ini,” kata Perdana Menteri sewaktu berucap di Majlis Perdana Menteri Bersama Warga Felda di Felda Gedangsa dalam lawatannya ke Hulu Selangor di sini.

Beliau berkata penyenaraian itu akan membantu proses lonjakan kedua untuk masyarakat itu melalui pemilikan saham dengan syarikat global yang akan menjana dividen tinggi.

Lonjakan pertama telah berjaya mengubah kehidupan mereka daripada yang tidak ada tanah dan kais pagi makan pagi kepada mempunyai rumah sendiri yang agak mewah, katanya.

Najib turut memberikan jaminan bahawa FGVH yang akan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada April ini akan diuruskan dengan cara paling profesional bagi menjadikannya syarikat perladangan terkemuka di dunia.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya bagi Felda untuk menguasai pasaran global dan pasaran dunia bagi memastikan keuntungan lebih besar dapat dicapai.

“Sebab itulah penyenaraian ini perlu dilakukan kerana ia akan meletakkan Felda ini sebagai satu organisasi dalam keadaan lebih mantap lagi.

“Kita akan uruskan Felda ini dengan cara yang lebih tersusun, hak bidang komersial kita akan buat secara komersial (dan) akan diuruskan dengan tahap profesionalisme yang setinggi mungkin,” katanya.

“Kita juga akan dapat rakan kongsi yang merupakan syarikat antarabangsa… supaya kita tidak lagi menjadi pengeluar minyak sawit sahaja, tetapi juga meraih keuntungan di pasaran Eropah, China dan negara lain,” katanya.

Najib berkata walaupun Felda akan dikorporatkan dalam bidang pengurusan ladang, program sosio ekonomi untuk masyarakat Felda seperti menyediakan kemudahan infrastruktur serta bantuan kebajikan untuk masyarakat peneroka tetap akan diteruskan.

“Kerajaan yang telah bangunkan Felda selama ini, yang telah memberi 1,001 nikmat kepada masyarakat Felda.

“Saya tak akan mengkhianati legasi Felda ini, dan apatah lagi saya sebagai anak kepada pengasas Felda, sudah tentu tidak akan mengkhianati perjuangan ayahanda saya (perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein) yang telah membina Felda dengan bersusah payah, dengan jerih perit pengorbanannya yang telah dilakukan bertahun-tahun.”

Najib berkata beliau berazam untuk melakukan yang terbaik supaya legasi Tun Abdul Razak itu akan terus mencatatkan kejayaan di abad 21 ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat Felda agar tidak termakan dengan hasutan pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang yang berusaha untuk memastikan usaha penyenaraian tersebut tidak berjaya.

Segala usaha kerajaan untuk memakmurkan rakyat termasuk penyenaraian FGVH sentiasa cuba diputarbelitkan pembangkang dalam usaha menarik sokongan rakyat, katanya.

“Inilah yang dikhuatirkan pembangkang…mereka cuba keruhkan suasana dan porak perandakan masyarakat Felda kerana dia takut bila sampai masa kita kotakan janji, masyarakat Felda akan dapat rahmat begitu besar dan ini akan beri kesan kepada mereka waktu pilihan raya nanti.

“Inilah tujuan niat mereka, untuk porak peranda Felda, menghasut serta memberi maklumat yang tidak tepat untuk timbulkan kebimbangan dalam Felda,” kata Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply