News_archive

Wujudkan Peluang & Persekitaran Supaya Industri Kreatif Malaysia Kukuh

By Tuesday April 24th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peluang dan persekitaran yang kukuh diwujudkan bagi meletakkan industri kreatif Malaysia pada kedudukan paling kukuh di peringkat dunia.

Perdana Menteri berkata untuk itu pelaburan dalam jenama tempatan perlu dilakukan bagi memberi dorongan kreatif.

“Kita mesti melibatkan diri dengan bakat muda terbaik negara bagi memperlahankan penghijrahan mereka,” kata Najib dalam ucapan pada Anugerah Putra Brand Award 2012, yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa malam.

Najib berkata kerajaan tidak dapat merealisasikan matlamat itu bersendirian, dan mahukan pembabitkan bersama semua pihak.

“Bagi pihak kerajaan, kita melabur dalam industri pertumbuhan tinggi dan baharu, yang merupakan sebahagian daripada program transformasi ekonomi dan berusaha menyediakan laluan baharu.

“Namun, kerajaan mahu semua pihak dalam industri itu berusaha untuk kecemerlangan bagi merebut peluang yang wujud hasil pembangunan negara dan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber sedia ada yang boleh dimanfaatkan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata industri kreatif perlu dibangunkan dan pada masa yang sama mengenal pasti usaha untuk membangunkan jenama global.

“Roy Disney pernah berkata “kreativiti merupakan sesuatu yang aneh – sukar diukur kuanntitinya, namun jika ia hilang – dan, dengan industri kreatif kini menyumbang hanya 1.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara, sudah sampai masanya untuk mengakui bahawa faktor X Disney tidak terdapat di Malaysia,” kata Najib.

“Dalam usaha untuk berinteraksi dan melibatan diri dengan seramai mungkin rakyat Malaysia, saya melancarkan laman web 1Malaysia – forum percuma dan terbuka untuk rakyat berkongsi pemikiran dan pandangan mengenai perkara yang kita ambil berat,” katanya.

“1Malaysia” menurut Perdana Menteri merupakan jenama perdana Kerajaan, untuk menyatakan perpaduan dalam kepelbagaian hasil kemajuan negara dan pada masa yang sama menjadi wadah perkongsian harapan untuk masa depan kita.

“Kebanyakan kita lebih mengenali impian Amerika, pawagam Perancis, fesyen Itali dan barangan elektronik Jepun. Dan apabila orang memikirkan mengenai Malaysia, saya mahukan kaitan yang kukuh dan positif yang serupa, yang tercetus dalam pemikiran mereka.

“Saya mahu orang membayangkan jenama utama negara – negara progresif, inovatif yang kesederhanaan dan tolerasinya dikagumi dunia. Dengan mengetengahkan identiti kita dengan jelas, bangga, tanpa rasa malu, semua orang dapat meraih manfaat,” kata Najib.

“Namun, sama ada produk itu biasa seperti mi segera Maggi yang menjadi pilihan kebanyakan dapur di Malaysia atau lebih kompleks seperti Sistem Kewangan Islam, nama-nama terkenal ini semuanya dibangunkan pada asas yang sama : teras jenama yang kukuh, kedudukan jenama yang padu dan wadah jenama yang berkuasa, yang memenangi hati, minda dan dompet pengguna,” kata Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply