News_archive

Wilayah Persekutuan Harus Jadi Lambang Kepakaran Perancangan, Pembangunan Malaysia – Najib

By Tuesday January 31st, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Wilayah Persekutuan sebagai “penampilan” negara, harus menjadi lambang terbaik bagi kepakaran perancangan dan pelaksanaan pembangunan yang ada di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Wilayah Persekutuan merupakan cerminan wajah Malaysia kepada dunia dan ia membentuk tanggapan pertama pelawat, pelancong dan pelabur yang datang.

“Sesungguhnya Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pusat komersial, Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan adalah nadi penting kepada negara.

“Kita tidak mahu Wilayah Persekutuan dikenali semata-mata melalui menara pencakar langit dan segala gejala negatif yang dikaitkan dengan urbanisasi, sebaliknya kita mengimpikan Wilayah Persekutuan yang hijau, ceria dan dengan alam sekitar yang sihat.

“Wilayah Persekutuan yang bugar sebagai pusat ilmu, kebudayaan, kesenian, fesyen dan kulinari,” katanya dalam perutusan Hari Wilayah 2012 yang dimuatkan dalam laman blog beliau, www.1Malaysia.com.my, pada Selasa.

Hari Wilayah Persekutuan disambut setiap 1 Feb.

Najib turut mengajak rakyat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai tempat terbaik untuk anak-anak dan keluarga mereka.

“Marilah kita jadikan impian kita ini suatu realiti. Bagi menggarap masa depan tersebut, warga Wilayah Persekutuan perlu berganding bahu bersama-sama bergerak ke arah apa yang direncanakan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply