News_archive

WCEF Kurnia Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Kepada Najib

By Tuesday January 24th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) — Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China (WCEF) Rabu mengurniakan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut WCEF, anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap langkah berani dan sumbangan Najib dalam mentransformasi Malaysia, khususnya dalam transformasi ekonomi yang telah berjaya meningkatkan keamanan dan kemakmuran negara.

Penasihat WCEF dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyampaikan anugerah itu kepada Najib, dengan disaksikan oleh Penaung WCEF Tan Sri Lee Kim Yew dan Pengerusi WCEF dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli) Datuk Michael Yeoh.

Yeoh berkata masyarakat Cina telah mendapat banyak manfaat daripada kepimpinan Najib yang adil dan saksama.

“Falsafah 1Malaysia, peningkatan peruntukan kewangan bagi sekolah-sekolah Cina dan pemberian pengecualian cukai kepada gereja dan tokong telah mempamerkan komitmen beliau terhadap kesaksamaan dan keadilan.

“Kami mengiktiraf sumbangan besar Datuk Seri kepada masyarakat Cina Malaysia dan kami dengan bangganya menyampaikan anugerah ini kepada Datuk Seri,” katanya pada majlis penyampaian anugerah khas itu dan perasmian Majlis Perniagaan Global WCEF.

Semasa menerima anugerah itu, Najib berkata anugerah itu merupakan satu penghormatan.

“Adalah sesuatu yang amat bermakna untuk diiktiraf bagi sumbangan saya terhadap masyarakat Cina yang sentiasa saya kagumi bukan sahaja bagi kepintaran anda dalam bidang perniagaan dan keusahawanan tetapi juga komitmen anda terhadap pendidikan, amal kebajikan dan sudah tentunya, kerja-kerja kemasyarakatan.

“Tanpa sumbangan anda, Malaysia tidak akan berada di tempat sepertimana sekarang ini. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada WCEF dan Asli,” katanya.

Najib turut mengambil contoh bidalan Cina, iaitu “jika anda mahukan satu tahun penuh kemakmuran, tanam benih. Jika anda mahukan 10 tahun penuh kemakmuran, tanam pokok. Dan jika anda mahukan 100 tahun penuh kemakmuran, bangunkan manusia”.

“Hanya jika kita membina kekuatan dan bakat semua rakyat kita di sini, di tanah air ini, akan dapat kita memanfaatkan sepenuhnya semua yang ada di Malaysia yang dapat ditawarkan di pentas antarabangsa, pada masa sekarang dan di masa depan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply