News_archive

Waspada Cubaan Pihak Tertentu Cuba Apikan Sentimen Rakyat – Najib

By Saturday April 16th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat termasuk komuniti India supaya sentiasa berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menjadi hero dengan mengapi-apikan sentimen perkauman pelbagai kaum di negara ini.

Mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan cubaan seumpamanya, Perdana Menteri berkata adalah tidak wajar untuk rakyat menggambarkan setiap masalah yang wujud di dalam negara ini sebagai masalah perkauman.

“Kita tidak seharusnya membenarkan mana-mana pihak untuk mengekspoitasi sebarang isu dan menjadi wira sehari dua.

“Kita wajar melihat pendekatan rasional untuk mencapai penyelesaian yang positif, sekali gus memenangi hati masyarakat,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baru India di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan dekat sini, Jumaat malam.

Perdana Menteri berkata dengan jumlah penduduk 28 juta orang, bermakna terdapat 28 juta impian yang harus diberi perhatian dan menjadi tugas kerajaan untuk memastikan ia tercapai.

“Kita harus membenarkan semua rakyat menggapai impian masing-masing,” katanya.

Kira-kira 12,000 masyarakat India dari pelbagai kawasan hadir memeriahkan majlis itu yang turut menyaksikan Perdana Menteri melancarkan ‘Astro Community Buletin’ iaitu usahasama antara kerajaan, MIC dan Astro untuk memastikan komuniti India sentiasa mengetahui dan memahami inisiatif diambil kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Majlis yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Vanavill saluran 201 dan 222 itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden MIC Senator Datuk G Palanivel.

Najib berkata sebagai kerajaan yang prihatin, pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan adalah dengan lebih memahami masalah dan inspirasi setiap kaum.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi komuniti India adalah antara inisiatif kerajaan untuk menyelesaikan masalah masyarakat kaum itu termasuk masalah ketiadaan kad pengenalan, sijil kelahiran, tiada pekerjaan, pinjaman mikro kredit dan penempatan pelajar di universiti.

“Kerajaan BN sentiasa menjaga kepentingan kaum India bersama kaum lain. Saya beri jaminan bahawa isu penting yang dekat di hati kaum India dan masalah mereka akan diselesaikan kerajaan,” katanya.

Mengenai pelancaran Astro Community Bulletin, Najib berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan membantu masyarakat India selain membolehkan kerajaan mengenalpasti masalah baru kaum itu.

Perdana Menteri berkata kejayaan pelaksanaan Gagasan 1Malaysia berkait rapat dengan penghayatan nilai empati iaitu kebolehan untuk meletakkan diri dalam kedudukan seseorang ataupun sekumpulan yang lain.

“Nilai empati bukan saja membolehkan rakyat melihat dari sudut pandangan sendiri tetapi juga dapat memahami pandangan dan perspektif pihak lain.

“Jika nilai itu dihayati, banyak masalah dalam negara boleh diselesaikan termasuk masalah kuil. Saya amalkan nilai ini, sebab itu banyak masalah dapat diselesaikan dan dapat mencapai situasi menang-menang,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply