Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Walkabout di Bazaria Lembah Pantai - Najib Razak
BlogFeatured Articles

Walkabout di Bazaria Lembah Pantai

By Sunday November 5th, 2017 No Comments

Pagi ini saya melakukan walkabout di Bazaria, Lembah Pantai dan gembira dapat berjumpa wakil-wakil persatuan, dari Pengerusi Masjid dan Surau, Persatuan Penjaja, Persatuan Penduduk, Persatuan Belia, Wakil PIBG, Wakil Kuil, Wakil Pelajar UM hinggalah kepada Wakil Persatuan Wanita.

Mereka yang hadir hari ini datang daripada latar belakang berbeza.

Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam masyarakat dan peranan setiap daripada mereka ini sentiasa dihargai oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Buktinya, dalam pembentangan #Bajet2018, saya telah mengumumkan pelbagai inisiatif meliputi kepentingan segenap lapisan masyarakat.

Buat mereka yang menyumbang kepada pembangunan Islam, saya mengumumkan penerusan bayaran elaun bulanan sebanyak RM588 juta.

Selain itu, saya juga umumkan bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir serta β€˜Tok Siak’ dengan peruntukan RM 100 juta. Insya-Allah, ini akan memberikan manfaat kepada lebih 65 ribu orang.

Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara, saya umumkan RM50 juta kepada GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian mereka. Skim Latihan Kemahiran GiatMara juga diperkenalkan bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran.

Buat para penjaja pula, sebanyak RM30 juta disalurkan kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia sebagai pinjaman kepada penjaja komuniti Cina.

Malah, RM200 juta diperuntukkan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia untuk terus memberi pinjaman dan pembiayaan, terutamanya kepada golongan wanita. Jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7 bilion, memanfaatkan hampir 400 ribu peminjam.

Kerajaan juga mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi meneruskan pemberian geran Komuniti Penduduk 1Malaysia kepada persatuan penduduk berdaftar, bagi menghargai jasa Ketua Kampung dan Tok Batin, bayaran khas one-off bernilai RM1,500 turut akan diberikan melibatkan 9,800 orang.

Untuk para belia pula, Kerajaan mengumumkan peruntukan RM155 juta untuk pembangunan kapasiti vendor, TUBE, SUPERB dan Skim Anjakan Usahawan. RM100 juta juga diperuntukkan untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC.

Selain itu, Kerajaan juga mengumumkan diskaun PTPTN dilanjutkan, antara 10 hingga 20 peratus kepada mereka yang membuat bayaran penuh, separuh atau mengguna pakai potongan gaji atau direct debit.

Saya juga umumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak 2 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20 ribu hingga RM70 ribu. Ini bermakna lebih 261 ribu orang tak perlu lagi bayar cukai!

Kesemua ini adalah kesinambungan daripada pengumuman yang telah dibuat Kerajaan dalam bajet-bajet tahunan sebelum ini, dan kita dapat laksanakan kerana Kerajaan Barisan Nasional telah memimpin negara dengan begitu berhemah dan bertanggungjawab selama ini.

Kerajaan juga sering mengambil langkah proaktif, contohnya kita buat keputusan mempelbagaikan sumber negara supaya tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas dan juga memperkenalkan GST.

Hasil daripada keputusan itu, Alhamdulillah, bila harga minyak dunia jatuh merudum, kita tidak terlalu terkesan daripadanya, kita dapat tampung kekurangan hasil minyak dengan pendapatan daripada GST.

Bila sebut pasal GST, pembangkang sering gunakan untuk kelirukan rakyat dan lontarkan dakyah kononnya ia penyebab kepada kenaikan harga barangan.

Hakikatnya, GST bukanlah satu-satunya penyebab harga barangan naik, tetapi banyak faktor lain seperti permintaan, inflasi dan sebagainya.

Malah, hasil daripada GST inilah yang kita salurkan kembali kepada rakyat, kita tingkatkan elaun OKU, elaun warga emas, kita terus berikan BR1M, terus beri bantuan sekolah, baik pulih kemudahan asas, sediakan peruntukan RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan kos rendah serta sederhana rendah dan banyak lagi.

GST ialah sistem pencukaian yang lebih adil, di mana mereka yang kaya menyumbang lebih banyak, dan hasilnya diagihkan kepada golongan yang miskin.

Melalui ini kita teruskan pembangunan negara dengan membina MRT, HSR, Lebuhraya Pan Borneo dan banyak projek InfraRakyat lain, untuk kemudahan rakyat di setiap pelusuk negara.

Pembangkang sering jaja negara kita bankrap. Saya beritahu rakan-rakan di Lembah Pantai tadi, negara bankrap mana yang mampu bina MRT, HSR, ECRL, Lebuhraya Pan Borneo, semua itu. Kalau bankrap, mana mungkin boleh kita terus bagi BR1M, naikkan elaun dan banyak lagi.

Kerajaan Barisan Nasional akan terus merencana dan melaksanakan yang terbaik, menunaikan tanggungjawab dengan istiqamah bagi memastikan kebajikan rakyat dari setiap lapisan masyarakat terus terpelihara.

Leave a Reply