Walaupun Malaysia sedang berkabung sebagai sebuah negara, kita tidak…

By Sunday July 20th, 2014 No Comments

Walaupun Malaysia sedang berkabung sebagai sebuah negara, kita tidak bersendirian. Ramai pemimpin-pemimpin dunia telah meluahkan simpati dan menghulur tangan persahabatan kepada kita. Sejak krisis bermula, saya telah bercakap dengan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, dan beliau mendesak siasatan menyeluruh ke atas tragedi MH17 dijalankan.

Saya juga telah menekankan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin akan kepentingan pasukan penyiasat antarabangsa untuk diberi kebenaran ke lokasi kejadian. Presiden Putin menegaskan bahawa beliau akan menggunakan pengaruh beliau untuk membenarkan pasukan penyiasat memulakan kerja-kerja mereka. Beliau juga berharap Presiden Ukraine akan bersetuju kepada satu tempoh genjatan senjata sementara.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menelefon saya untuk menyampaikan takziah dan kami bersetuju bahawa sebuah pasukan antarabangsa harus mendapat kebenaran untuk ke lokasi kejadian, dan tiada siapa patut mencemar sebarang bukti termasuk kotak hitam pesawat. Presiden Obama juga menawarkan bantuan segera untuk penubuhan pasukan penyiasat antarabangsa dan mengulangi pendirian beliau terhadap hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Selain daripada memberikan maklumat terkini kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki Moon, saya turut menyampaikan tiga tuntutan rasmi kerajaan Malaysia. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui Presidennya Eugène-Richard Gasana turut mendesak penyiasatan penuh dan bebas berdasarkan undang-undang penerbangan sivil antarabangsa. Majlis Keselamatan juga menekankan kepada pihak-pihak terbabit agar membenarkan pasukan penyiasat memasuki lokasi kejadian untuk mengenalpasti punca tragedi ini.

Saya turut menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Australia Tony Abbott ke atas kehilangan rakyat Australia dalam tragedi yang menyayat hati ini.

Malaysia amat menghargai sokongan pemimpin-pemimpin dunia pada waktu yang sukar ini. Rakyat Malaysia harus kekal tabah dan bersatu dalam menghadapi krisis ini, dan terus berdoa agar negara dijauhkan dari malapetaka.



Original post: https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.10151787553305952/10152169897685952/?type=3

Leave a Reply