BlogFeatured Articles

Usaha Tingkatkan Perkhidmatan ETS

By Wednesday March 8th, 2017 No Comments

Saya telah terima laporan terperinci daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat mengenai ketidakpuasan terhadap sistem tiket online ETS yang saya utarakan baru-baru ini. Apa yang disuarakan adalah suara hati rakyat, keluhan mereka mengenai perkhidmatan yang kita wujudkan untuk mereka jua, dan perlu kita ambil perhatian serius.

Berdasarkan laporan, saya difahamkan bahawa masalah timbul akibat transaksi online KTM Berhad yang mengalami peningkatan sangat ketara sebanyak 90% pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya. Ini kemudiannya membebankan sistem e-tiket kerana kapasiti internet sedia ada tidak dapat menampung permintaan.

Saya maklum bahawa beberapa langkah penyelesaian telah dikenal pasti. Antaranya:

1.  Meningkatkan kapasiti kemudahan akses internet khas untuk e-tiket bagi mengurangkan ‘downtime’. Ini akan membolehkan perkhidmatan e-tiket yang disediakan lebih cekap bagi kegunaan pelanggan. Ini akan dilaksanakan sebelum 9 Mac 2017.

2. Menambah bilangan kakitangan khidmat pelanggan terlatih untuk meningkatkan mutu khidmat pelanggan KTMB. Ini akan dilaksanakan serta-merta.

3. Laman sesawang portal e-tiket akan direka semula menjadikan ia laman utama atau landing page, termasuk membangunkan semula portal e-tiket KTMB menjadi lebih mesra pengguna dan berorientasikan jualan. 

4. Menambahbaik respon serta mekanisme pemulangan bayaran bagi transaksi yang gagal kepada pengguna dengan kerjasama pihak bank, termasuk notifikasi kepada pelanggan melalui e-mel dan SMS. Usaha ini akan dilaksanakan sebelum 21 Mac 2017.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada SPAD yang telah bekerjasama dengan KTMB untuk mengenal pasti masalah serta mencadangkan langkah-langkah penyelesaian di atas dalam masa yang singkat setelah perkara ini diutarakan.

Setiap cadangan ini saya yakin akan dapat memanfaatkan rakyat dan kita akan dapat melihat perubahan dan penambahbaikannya tidak lama lagi. Pada masa sama, kesemua cadangan ini juga akan dipantau sehingga terlaksana dan mencapai objektif memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Kita wajib utamakan rakyat, dengar denyut nadi mereka dan bertindak secara proaktif menangani sebarang permasalahan yang timbul. 

Ingatlah moto Kerajaan – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Saya akan terus bersuara dan mengambil pendirian bersama rakyat menilai perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan Kerajaan.

(Foto Bernama)

Leave a Reply