News_archive

Usaha Pelaburan Di Luar Negara Pastikan Petronas Terima Pendapatan Berterusan, Kata Najib

By Friday July 22nd, 2011 No Comments

SEPANG, 22 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat memuji syarikat minyak dan gas negara, Petronas, kerana akan terus menerima hasil pelaburan berikutan langkah proaktifnya melabur di luar negara.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, yang merujuk kepada pelaburan Petronas membina Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly di Turkmenistan baru-baru ini, berkata warga kerja Petronas turut mengharumkan nama negara sambil melaksanakan pelaburan itu.

Pembinaan loji itu, yang juga pelantar gas pesisir pantai pertama Turkmenistan, melibatkan pelaburan US$5.2 bilion.

Berucap sebaik tiba dari lawatan ke tiga buah negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Najib berkata pelantar gas itu juga terletak di antara yang “terkaya” di kawasan tersebut.

“Ini bererti punca pendapatan Petronas akan menerima pulangan secara berterusan kerana minyak di Malaysia semakin pupus,” katanya sambil memuji syarikat minyak milik negara, yang telah mengambil langkah proaktif untuk melabur di luar negara.

Katanya langkah Petronas itu, yang dilakukan mengikut perancangan awal dan teliti, telah dilakukan demi kebaikan rakyat Malaysia.

Pada 12 Julai lalu, Najib bersama-sama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhammedov melancarkan Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly itu.

Najib telah mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan sebelum berlepas ke United Kingdom dan Itali.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga atas penglibatan lebih 100 jurutera tempatan dalam pelbagai bidang seperti geologi, kimia dan petroleum di dalam pembinaan loji itu.

“Yang melakukan kerja ini adalah anak-anak negara ini. Anak Malaysia. Anak-anak Malaysia telah mengharumkan nama negara di sana.”

Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly akan menyaksikan dua proses dengan gabungan kapasiti pengeluaran sehingga 500 juta kaki padu standard sehari dan 53 kilometer saluran yang menghubungkan Terminal ke saluran paip eksport.

Sumber : Bernama

Leave a Reply