News_archive

Usaha Eratkan Komunikasi NGO Dengan Kerajaan Disambut Baik

By Monday March 5th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan Gedung NGO@KPWKM sebagai satu inisiatif ke arah mempertingkatkan lagi komunikasi antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan mendapat sambutan baik.

Presiden Gabungan Persatuan Orang Kurang Upaya Malaysia Datuk Mah Hassan Omar berkata langkah itu juga dapat meningkatkan komunikasi sesama NGO yang dianggap sebagai tulang belakang kepada pembangunan negara.

“NGO ini perlu dilihat sebagai saluran yang dapat membawa kepada pembangunan negara, maka ia harus diberi perhatian dan pada masa sama diberi peluang untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Mah Hassan mengulas mengenai langkah kementerian mewujudkan sekretariat khusus dikenali sebagai Gedung NGO@KPWKM untuk membangunkan direktori bagi semua NGO serta pertubuhan kebajikan yang bekerjasama dengannya.

Pengumuman mengenainya dibuat Menteri bertanggungjawab Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur Zulkifli Shaari pula berkata kewujudan Gedung NGO@ KPWKM itu dapat mengeratkan hubungan sesama NGO.

“Sudah tentu gedung ini dapat rapatkan NGO satu sama lain sebab kalau tidak NGO dengan NGO pun tidak dapat kenal masing-masing,” katanya.

Pengerusi Persatuan Warga Emas Wanita Negeri Sembilan (Perkemas) Maimunah Yusof berpendapat penubuhan Gedung NGO@ KPWKM itu akan membolehkan kementerian dan orang ramai mengetahui tentang kewujudan sesebuah NGO.

Katanya sekretariat itu juga akan membolehkan NGO tahu tentang program dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan sekaligus memudahkan mereka melaksanakan peranan masing-masing.

“Selain daripada itu bila kita semua (NGO) dimasukkan di bawah direktori maka tidaklah kita dianggap sebagai persatuan haram,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply