News_archive

Umno Tidak Boleh Lagi Bersandar Kepada Nostalgia – Najib

By Saturday May 9th, 2009 No Comments

PEKAN, 10 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno tidak boleh lagi bersandar kepada nostalgia perjuangan, sentimen dan jasa-jasanya kepada bangsa dan negara jika mahu terus relevan kepada rakyat.

Presiden Umno itu berkata Umno kini perlu peka dengan perubahan sekeliling bagi mengekalkan kedudukannya di hati rakyat.

“Jangan fikir yang sokong kita, tapi juga yang tidak sokong kita, dalam perniagaan misalnya, bukan sekadar jaga pelanggan kita, tapi fikir kenapa ada yang tidak jadi pelanggan kita,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno Bahagian Pekan, di sini, hari ini.

Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata persekitaran politik yang berbeza berbanding ketika Umno dilahirkan dahulu, memerlukan Umno untuk berani membuat perubahan selaras dengan perubahan persekitaran politik semasa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata terdapat dua unsur yang perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan Umno terus relevan.

“Pertama, masyarakat kita lebih terdidik dan bermaklumat hasil daripada kejayaan yang dibawa Umno dan Barisan Nasional itu sendiri, kedua, golongan pasca merdeka atau pasca peristiwa-peristiwa besar seperti 13 Mei, yang mana mereka hanya belajar (peristiwa itu) menerusi buku atau (mendengar) secara lisan.

“Jadi untuk ini, Umno perlu melakukan perubahan daripada segi pemikiran, strategi politik, pendekatan, termasuk cara kita berkomunikasi tentang dasar yang diperjuangkan Umno,” katanya.

Najib berkata Umno juga perlu mampu “berbicara” menerusi media baru atau alam maya seperti laman web kerana kebanyakan golongan muda kini dilihat lebih berminat mendapatkan maklumat menerusi media alternatif itu berbanding media perdana.

“(Selain itu) Cara kita berurusan dengan orang ramai, mereka mengharapkan kita menyelesaikan masalah mereka dengan pantas, jadi banyak lagi perkara perlu kita lakukan,” katanya.

Najib berkata semua pemimpin Umno juga telah diarahkan supaya berurusan dengan semua pihak dan menyelesaikan masalah mereka dan tidak hanya tertumpu kepada anggota Umno sahaja.

“Kita telah keluarkan arahan supaya (pemimpin Umno) berurusan dengan semua pihak dan tidak tertumpu kepada ahli Umno sahaja, Umno mesti mewakili semua golongan, semua pihak, semua kelompok dalam masyarakat kita,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan golongan muda terhadap Umno, Najib berkata golongan itu ibarat kain putih, yang perlu diberi maklumat yang benar agar tidak terpesong dengan dakyah pihak-pihak tertentu.

“Saya anggap mereka kain putih, terpulang kepada kita, kalau mereka dapat maklumat sebenar, mereka akan sokong kita, kalau diselewangkan dan kita gagal menyampaikan apa sebenarnya, mereka akhirnya akan terpengaruh walaupun cerita itu tidak benar,” katanya.

Apa yang penting untuk Umno terus kekal relevan, Najib berkata ianya mestilah mampu dan berani melakukan perubahan.

“Perubahan kepada gaya, cara kepimpinan, pendekatan yang digunakan, strategi politik, wacana, komunikasi yang diamalkan, imej parti, termasuklah pembaharuan fizikal”.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply