Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
UMNO rapatkan saf - Najib Razak
News_archive

UMNO rapatkan saf

By Saturday March 28th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Selain peralihan pucuk pimpinan, Perhimpunan Agung Umno ke-59 berakhir semalam, turut menyaksikan kekuatan baru Umno apabila dua bekas presidennya yang berbeza pendapat – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad – memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru parti.

Kehadiran Dr Mahathir yang mengejutkan perwakilan ketika sesi ucapan penggulungan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, turut dilihat sebagai kejayaan awal usaha Presiden Umno ketujuh, Datuk Seri Najib Razak, merapatkan saf parti di semua peringkat.

Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno kelima itu bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang memasuki Dewan Merdeka kira-kira jam 12.25 tengah hari ketika Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan ucapan penggulungannya, turut mengesahkan akan menyertai semula Umno dalam masa terdekat.

Muhyiddin menghentikan ucapannya seketika untuk membuat pengumuman ketibaan Dr Mahathir, yang disambut dengan sorakan perwakilan sambil berdiri memberi penghormatan. Dr Mahathir turut bangun dan melambaikan tangan dari tempat duduk pemerhati.

“Saya percaya hari ini, Tun (Dr Mahathir) akan masuk (semula) Umno secara rasmi,” kata Muhyiddin, disambut tepukan gemuruh perwakilan dan barisan kepemimpinan parti, sebelum beliau meneruskan ucapannya.

Dr Mahathir, yang sering mengkritik pentadbiran Abdullah secara terbuka, mengisytiharkan keluar daripada Umno dalam satu ceramah di Alor Star pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.

Ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno berakhir, Dr Mahathir berkata beliau akan kembali menyertai Umno tetapi perlu mengisi borang keahlian terlebih dulu pada tarikh yang sesuai.

Menurutnya, beliau menukar fikiran untuk menghadiri perhimpunan itu kerana pemilihan Muhyiddin meyakinkannya ada perubahan dalam Umno.

Najib pada sidang media selepas perhimpunan berakhir, mengaku perkembangan itu menandakan pemimpin parti bersatu padu dan berharap ia menjadi inspirasi untuk meneruskan usaha ke arah pembaharuan dan perubahan Umno.

Beliau berhasrat untuk mengundang Abdullah dan Dr Mahathir bagi membincangkan masa depan parti dan negara.

Katanya, beliau sudah mengajukan cadangan untuk berjumpa kedua-dua negarawan itu kerana pandangan dan nasihat mereka mampu memantapkan serta menguatkan parti serta menjamin masa depan negara.

“Kalau Tun kembali pada parti, dia memberi pengiktirafan kepada parti kita. Saya percaya Tun boleh memberi pandangan dan nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Ditanya pembabitan kedua-dua negarawan dalam pembangunan negara, Najib berkata: “Saya belum memulakan tugas lagi… nantilah, kenapa anda terburu-buru. Apa yang pasti, kedua-dua pemimpin akan memainkan peranan masing-masing, yang akan dijelaskan kelak.”

Abdullah pada sidang media berasingan yang turut dihadiri Najib, pula berkata keputusan untuk menerima permohonan Dr Mahathir menyertai semula Umno, akan ditentukan parti.

“Bukan hak saya untuk menerima beliau tetapi ia adalah prerogatif parti untuk membuat keputusan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau ambil hati dengan kritikan Dr Mahathir terhadap kepimpinannya, Perdana Menteri sambil ketawa berkata: “Siapa yang tidak kenal Dr Mahathir.”

Abdullah turut ditanya mengenai cadangan Najib yang mahu beliau dan Dr Mahathir bertindak sebagai penasihat Umno selepas ini.

“Saya tidak menolak idea itu. Saya sentiasa boleh bekerjasama, bukan jadi masalah kepada saya, dengan Tun atau sesiapa saja,” katanya.

Ditanya apa yang dibincangkan dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: “Kita cuma salam, semua mahu bersalam dengan kita, dengan dia (Tun), itu saja. Saya sentiasa boleh bekerjasama, tiada masalah dengan Tun atau dengan sesiapa pun.”

Najib dalam ucapan menerima jawatan sebagai Presiden Umno sebelum itu, menyuarakan harapannya untuk mengajak Abdullah dan Dr Mahathir mengadakan perbincangan dengannya mengenai masa depan Umno dan negara.

“Saya ada satu harapan untuk sama-sama dengan dua negarawan ini, bersama-sama membincangkan tentang masalah dan masa depan parti serta negara. Walaupun mungkin pertemuan pertama agak kekok sikit agaknya tetapi lama-kelamaan kemesraan akan terjalin,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan kedatangan Dr Mahathir pada hari terakhir persidangan itu dan percaya bahawa ‘darah yang mengalir di dalam tubuh tokoh politik itu adalah darah Umno’.

“Saya cuba mentafsirkan kehadirannya, tetapi saya percaya apa jua di dalam hati kecil beliau, darah beliau adalah darah Umno. Apa yang penting bukan perasaan diri tetapi masa depan Umno dan negara.

“Kalau pemimpin seperti negarawan-negarawan ini menunjukkan teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan, di bawah ini (perwakilan) boleh ikut bersama dan akan terus dapat inspirasi daripada isyarat negarawan kita.

“Kita dapat menghadapi banyak cabaran, kalau pemimpin, negarawan kita bersama-sama mendukung perjuangan kita, sama-sama melahirkan idea, sama-sama tidak kritik secara terbuka tetapi berfikir secara baik, secara dalaman, kerana parti inilah yang pernah berjasa kepada kita,” katanya.

Najib berkata, sudah sampai masanya pemimpin dan anggota akar umbi terus setia kepada parti walaupun sudah bersara kerana jasa parti yang begitu besar kepada mereka.

“Semboyan telah dibunyikan, bingkaslah bangun, kibarkan panji-panji perjuangan Umno membela demi untuk nasib Malaysia, teruskan perjuangan kita, Umno akan diperkasa, didaulatkan. Insya Allah akan berjaya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply