Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Umno Mesti Jadi Parti Inklusif, Kata Najib - Najib Razak
News_archive

Umno Mesti Jadi Parti Inklusif, Kata Najib

By Monday April 27th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Umno mesti menjadi parti bersifat inklusif, tidak bersifat elitis dan anti idea baru dalam apa sahaja yang dilakukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata Umno mesti membuka pintunya seluas-luasnya kepada semua golongan masyarakat tidak kira golongan tua, remaja, intelek, pekerja biasa dan latar belakang sosio ekonomi mereka.

“Umno jangan jadi parti elitis yang hanya untuk golongan tertentu, hanya untuk penyokong tertentu yang boleh masuk Umno dan jangan guna Umno untuk penyokong sendiri sahaja tanpa sokongan orang lain.

“Umno jangan jadi anti-intelek. Umno mesti mendahului jambatan perubahan dan pembaharuan. Ini adalah rahsia kalau Umno mahu jadi parti massa seperti masa penubuhan Umno dulu,” katanya semasa merasmikan sambutan 15 tahun Umno Bahagian Cheras di sini malam Isnin.

Najib berkata Umno perlu kembali kepada falsafah penubuhannya sebagai parti yang boleh mewakili segenap lapisan masyarakat dan sekiranya menjadi realiti Umno akan menjadi sebuah parti yang semakin kuat.

“Mereka (semua golongan rakyat yang menyertai Umno kelak) mesti menganggap Umno menjadi parti yang memperjuangkan untung nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata sekiranya anggota Umno suka mencantas kerana takut dicabar dan takut kepada golongan intelek, maka Umno akan menjadi parti yang lemah.

“Kalau nak (Umno) kuat, beri tempat kepada semua golongan supaya mereka kasih kepada Umno dan ini menunjukkan betapa pentingnya Umno bersifat inklusif,” katanya.

Beliau berkata itu sebabnya beliau mengalu-alukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kembali kepada Umno, tidak kira golongan negarawan mahu pun orang bawahan.

Mengenai pelantikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anggota Majlis Tertinggi Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Najib berharap gandingan mereka itu akan mengembalikan kekuatan Umno serta Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata sifat inklusif dengan membela nasib bukan sahaja orang Melayu malah kaum lain juga menjadi asas kepada konsep 1Malaysia.

“Dengan menjadi juara kepada orang bukan Melayu dan orang Melayu, kita akan dapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji pemimpin yang tidak mengejar jawatan dalam kerajaan kerana dengan adanya sifat sedemikian, tidak ada pihak yang akan berkecil hati atau merajuk sekiranya tidak dilantik.

“Apa yang penting ialah Umno dan perjuangan masa depan kita. Mudah-mudahan falsafah seperti ini akan diguna pakai kerana perjuangan yang murni itu akan menjadikan seorang pemimpin itu dihormati, disegani dan bukannya ditakuti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin pada majlis sama berkata beliau pasti perjuangan selepas dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan bukan sahaja mahu menumpukan kepada sokongan orang Melayu sahaja.

“Tetapi (tumpuan sokongan) juga kepada masyarakat lain sama ada di pusat bandar raya atau di tempat lain juga supaya kita berpeluang untuk mencapai cita-cita memajukan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Muhyiddin berkata misi Umno (Wilayah Persekutuan) juga amat berat sekali untuk menjalankan kewajipan bukan sahaja untuk memperkuatkan parti malahan untuk meyakinkan rakyat agar menyokong Umno dan BN.

Sebelum itu, Najib melancarkan Buletin Edisi Khas 15 tahun Umno Cheras dan menyampaikan pakej umrah kepada anggota Umno serta penyampaian hadiah kepada pemidato Pemuda Bahagian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah dan beberapa orang menteri Kabinet serta timbalan menteri.

Umno Cheras, yang kini mempunyai 31 cawangan dengan 9,859 anggota, ditubuhkan pada 1994 selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply