News_archive

Umno, BN Kedah Perlu Banyakkan Lagi Usaha Bantu Rakyat – Najib

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

SUNGAI PETANI, 20 Jan (Bernama) — Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri Kedah perlu memperbanyakkan lagi kejayaan dan usaha dalam membantu rakyat di negeri ini bagi menarik sokongan mereka kepada BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata banjir yang melanda Kedah pada November tahun lepas adalah contoh yang amat baik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Umno dan BN jauh ke depan dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

” Inilah maklum balas yang saya dapat rakyat puji. Bahawa kita parti yang prihatin kepada masalah rakyat. Kita beri bantuan tak pilih bulu, semua kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan BN dan Umno negeri Kedah di sini Khamis.

Katanya beliau berpuas hati dengan gerak kerja Umno dan BN Kedah tetapi masih ada ruang untuk meningkatkan usaha itu.

Mengulas mengenai perjumpaan hari ini, Najib berkata beliau telah mendapatkan maklumat mengenai kedudukan Umno dan BN di Kedah dan telah menekankan kepada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh Umno dan BN di Kedah.

“Tujuannya supaya kerja-kerja lebih kemas dan mantap lagi dilakukan selaras dengan proses transformasi politik yang telah disarankan dalam perhimpunan agung yang lalu.

” Kita percaya gerak kerja Umno dan BN akan terus meningkat supaya kedudukan kita dapat ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata BN tiada masalah untuk menyenaraikan semula calon yang tewas pada pilihan raya sebelum ini jika calon itu mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya selepas ini.

” Tak kiralah kalau tewas pun…(pilihan raya) nanti kena calon yang boleh membawa kemenangan, (calon) yang baru pun mesti calon yang boleh membawa kemenangan. Kita takdelah menggugurkan semua orang sebab kalah. Kalau nak jadi calon mestilah penuhi kriteria..calon yang boleh membawa kemenangan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply