News_archive

Umat Islam Perlu Laksanakan Transformasi Minda Dan Jiwa Sempena Ramadan: Najib

By Monday August 1st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sempena bulan Ramadan, bulan yang amat istimewa ini, umat Islam di negara ini perlu melaksanakan transformasi minda dan jiwa agar ianya bukanlah hanya bulan yang sekadar rutinan semata-mata.

Perdana Menteri berkata:”bahkan inilah Ramadan yang akan meningkatkan dan mengubah kehidupan kita selepas ini dengan menjadi hambaNya yang lebih hebat takwanya berbanding sebelumnya.”

“Justeru, kehadiran Ramadan al-Mubarak ini merupakan satu rahmat besar yang telah disediakan oleh Allah S.W.T sebagai satu medan untuk kita semua membina kualiti keimanan dan ketakwaan.

“Sememangnya, Ramadan akan kita hiasi siang dan malamnya dengan segala rupa bentuk ibadah dan amalan soleh seperti berpuasa, bertarawih, bertadarus dan mentilawahkan al-Quran, berzikir dan bermunajat,” katanya dalam perutusan sempena bulan Ramadan dalam blognya www.1malaysia.com.my hari ini.

“Sudah tentu, antara hikmah segala ibadah ini ialah untuk membangunkan segala sifat dan kualiti terpuji di dalam diri kita,” katanya.

Najib juga berkata memandangkan bulan Ramadan menganjurkan umat Islam mengukuhkan tali persaudaraan dan perpaduan, maka ianya adalah amat sesuai untuk membugarkan Gagasan 1Malaysia.

“Malah ianya membentuk konsep �Penerimaan� sepenuhnya di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata malah bulan Ramadan juga menggalakkan umat untuk saling bersedekah dan berkongsi juadah di samping menzahirkan keprihatinan kepada jiran dan handai taulan tanpa mengira batas kaum dan agama.

“Inilah masanya kita sama-sama berdiri di dalam satu saf untuk solat berjemaah dan bertarawih. Bulan ini juga menganjurkan kita mengukuhkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama kita,” katanya.

Najib turut mengingatkan agar umat Islam tidak melakukan pembaziran dan berbelanjalah secara berhemah pada bulan ini, sesuai dengan semangat yang dianjurkan oleh Ramadan.

“Menepati semangat Ramadan ini juga, maka bagi mengutamakan kebajikan dan membantu meringankan beban rakyat, kerajaan telah menambah satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu memerangi kos kehidupan yang kian meningkat,” katanya.

Perdana menteri dan seisi keluarga turut merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di negara ini, di samping mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

“Marilah kita bersama-sama mengimarahkan Ramadan ini dengan segala amal kebajikan dan ibadah. Semoga Allah S.W.T melimpahkan kepada kita dengan seribu rahmatNya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply