BlogFeatured Articles

Ulang Tahun ke-10 KWAP

By Monday June 5th, 2017 No Comments

Hari ini kita meraikan satu dekad perjalanan organisasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau lebih dikenali sebagai KWAP sebagai dana persaraan kedua terbesar di Malaysia.

Sepanjang tempoh satu dekad ini, KWAP telah merekodkan pencapaian dan prestasi yang amat membanggakan. Saiz dana KWAP berkembang dari RM42 bilion pada tahun 2007, kepada RM125 bilion pada Disember 2016, memberi peningkatan sebanyak 200%.

Daripada jumlah RM125 bilion, RM53.6 bilion adalah hasil daripada penjanaan pendapatan pelaburan yang seterusnya akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen. Ini merupakan sebagai satu sumbangan KWAP kepada negara dan para pesara. KWAP juga telah mencatat pulangan kasar purata pelaburan sebanyak 6.5 peratus dalam tempoh 10 tahun ini.

Bermula dengan 30 orang kakitangan sahaja, kini KWAP bertulang belakangkan hampir 600 kakitangan dan saya yakin keseluruhan warga kerja KWAP akan sentiasa komited dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada KWAP. Tahniah juga saya ucapkan kepada KWAP kerana berjaya kekal dinamik melalui aplikasi MyPesara yang membenarkan hubungan secara langsung dengan pesara.

Sesungguhnya sumbangan warga kerja KWAP amatlah penting dalam memastikan kita perlu terus deliver, memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesara dan meningkatkan produktiviti ke tahap global. Saya harap dengan perasmian pejabat utama baharu di Menara Integra sebentar tadi akan membantu melonjakkan semangat semua untuk terus berjuang.

Sebagai sebuah dana pencen, KWAP telah menyumbang kepada pentadbiran negara dengan jayanya, melalui pembiayaan dan pelaksanaan fungsi-fungsi persaraan yang efisyen, serta membantu Kerajaan Persekutuan dalam pengagihan semula pendapatan untuk memastikan kesejahteraan hidup kumpulan pesara terjamin.

Selama ini, dana KWAP juga telah membantu Kerajaan membiayai projek-projek rakyat seperti rumah-rumah mampu milik yang dibina oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), projek infrastruktur Kerajaan seperti kuarters Kerajaan, hospital, sekolah, pusat sukan dan lain-lain yang diterajui oleh pembinaan private finance initiative atau PFI.

Saya yakin bahawa KWAP sebagai institusi pelaburan akan terus memainkan peranan yang penting dalam memberi pulangan optima dan memberi impak yang positif kepada pembangunan negara.

KWAP juga memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah ‘Negara Menua’ atau ‘Ageing Population.’ Mengikut kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia akan mencapai status negara menua pada tahun 2030. Ini bermaksud, lebih daripada 15 peratus warganegara terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Ini merupakan satu cabaran yang perlu kita tangani, kerana ia boleh membawa kepada masalah ekonomi dan sosial yang kritikal, seperti yang dilihat di negara Jepun sekarang. Antaranya peningkatan kos kesihatan awam secara berlipat ganda, penyusutan produktiviti dan pengeluaran negara.

Jika kita menjadi negara menua, pasti kita akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan berbanding dengan sebuah negara yang mempunyai nisbah kelompok dewasa bekerja yang tinggi.

Di sini, KWAP sebagai dana persaraan memainkan peranan yang amat penting dalam memberi jaminan kewangan kepada kumpulan kakitangan sektor awam yang telah berpencen. Atau dengan kata lain, pelan persaraan yang akan memberi sokongan kepada golongan ini untuk menikmati zaman warga emas.

Saya difahamkan, KWAP baru saja menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Institut Penuaan Malaysia untuk melaksanakan kajian berkaitan persaraan dan penuaan di Malaysia. Ini menunjukkan KWAP telah memberikan komitmen yang tinggi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pesara dan membantu Kerajaan dalam penambahbaikan polisi-polisi berkaitan persaraan ke arah mencapai usia emas yang lebih produktif.

Perlu ditekankan juga bahawa adalah mustahak sektor GLC dan swasta juga memainkan peranan mereka dalam memastikan negara kita bersedia menghadapi cabaran ini.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah ke atas pencapaian KWAP selama ini dan saya yakin sebagai organisasi berprestasi tinggi, KWAP akan terus melakar prestasi cemerlang. Insya-Allah unjuran KWAP untuk mencapai dana sebanyak RM500 bilion menjelang 2050 akan tercapai juga.

Leave a Reply