News_archive

Ujian nuklear Pyongyang boleh cetus ketegangan

By Tuesday May 26th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam menyatakan kebimbangan berhubung tindakan Korea Utara yang mengadakan ujian letupan nuklear bawah tanah kerana ia boleh menimbulkan ketegangan di Semenanjung Korea dan Asia Timur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia berpendapat bahawa ujian nuklear bawah tanah yang dilakukan Korea Utara itu adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana boleh memberi pelbagai kesan kepada kestabilan serantau.

Katanya, tindakan Korea Utara menjalankan ujian nuklear itu, yang kedua selepas ujian pertama pada 2006 pasti boleh meningkatkan lagi ketegangan di kawasan Semenanjung Korea khususnya serta Asia Timur keseluruhannya.

“Malaysia berharap perkara itu dapat ditangani melalui rundingan enam pihak (China, Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat, Russia dan Jepun) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia tidak wajar kerana boleh wujud ketidakstabilan di Semenanjung Korea dan meningkatkan ketegangan di Asia Timur,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bersama warga Felda di Dewan Perdana Felda, di sini, semalam.

Najib mengulas mengenai tindakan Korea Utara menjalankan ujian nuklear bawah tanah kelmarin, yang menyebabkan gegaran di rantau itu serta meningkatkan lagi krisis negara itu dengan Korea Selatan serta Jepun.

Agensi Berita Pusat Korea Utara menyifatkan ujian itu sebagai usaha meningkatkan program nuklearnya untuk mempertahankan diri.

Ia dibuat beberapa minggu selepas negara itu mengancam memulakan semula program atomnya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply