News_archive

Ucaptama PM Pada Konvensyen BN Dijangka Menyentuh Wawasan 1Malaysia

By Saturday December 4th, 2010 No Comments

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dijangka menyentuh mengenai wawasan 1Malaysia dalam ucaptama beliau pada Konvensyen BN yang diadakan di Wisma MCA pada Ahad.

Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata konsep 1Malaysia adalah penting untuk dibincangkan memandangkan Malaysia didiami oleh penduduk pelbagai bangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Juara Rakyat’ Parlimen Putrajaya di sini, beliau berkata topik lain yang akan dibincangkan adalah sosio-ekonomi, keselamatan, pendidikan, agama, menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan juga undang-undang serta rasuah.

Pemimpin daripada 13 parti komponen BN masing-masing berpeluang untuk membahaskan topik berkenaan, termasuk Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata semua parti komponen perlu menganggap Konvensyen BN esok sebagai persiapan nagi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata kira-kira 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan Badan Bukan Kerajaan dijangka menghadiri konvensyen tahun ini yang bertemakan “1 Rakyat, 1 Negara, 1 Wawasan.”

Ditanya sama ada konvensyen itu akan diadakan setiap tahun, beliau berkata ia bergantung kepada keperluan.

Kali terakhir konvensyen BN diadakan ialah pada 2001.

Konvensyen itu dijangka menerima piagam yang kemudian akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

Sempena konvensyen berkenaan, Najib akan menghadiri jamuan 1BN Perdana di Seri Perdana, di sini Sabtu malam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply