Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Ucapan Sempena Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Malaysia Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong - Najib Razak
Speeches

Ucapan Sempena Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Malaysia Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong

By Saturday June 6th, 2009 No Comments

UCAPAN
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD. RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA ISTIADAT MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG-BINTANG DAN PINGAT-PINGAT MALAYSIA
SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
PADA 6HB JUN 2009(SABTU), JAM 11.00 PAGI
DI ISTANA NEGARA
Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,

Al- Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah,

Mengadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,

Tuanku Nur Zahirah,

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Diampun.

1. Pada pagi yang penuh kemuliaan ini, patik bagi pihak kerajaan, para penjawat awam serta sekalian rakyat menyembah tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena keputeraan rasmi Tuanku. Patik sekalian merafak kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas limpah kurnia dan rahmat-Nya jua negara Malaysia dan seluruh warganya dapat sekali lagi merayakan rampunnya ulang tahun yang bererti ini.

2. Patik dan seluruh rakyat juga memanjatkan doa agar Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia, berada dalam keafiatan, dilimpahkan hidayahNya, kekal bersemayam atas takhta kerajaan dengan segala kebesarannya.

3. Kata orang, Tuanku berdua umpama pohon yang rendang, patik sekalian menumpang teduhnya. Justeru seluruh rakyat negara ini, membulat ikrar dan taat setia yang tidak berbelah bahagi agar Tuanku terus berperanan sebagai lambang keutuhan negara, menaungi sekalian yang ada.

4. Sempena hari keputeraan rasmi ini juga, Patik ingin menzahirkan ucapan junjungan kasih setingginya atas perkenan dan kepercayaan Tuanku di atas lantikan Patik menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri yang ke enam bermula 3hb April yang lalu. Seperti yang semua maklum, Patik amat bersyukur ke pangkuan Ilahi kerana proses peralihan kuasa telah berjalan dengan sangat tertib dan beradab. Tentunya, rasa terima kasih dan penghargaan yang khusus ditujukan kepada YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah menjayakannya dengan lancar dan licin. Inilah tradisi mulia, kebanggaan, lambang dan mercu tanda budaya Malaysia sejak zaman berzaman.

Ampun Tuanku,

5. Sistem Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, falsafah persekutuan, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang merupakan tonggak-tonggak utama yang telah mendasari kemajuan dan pembangunan negara tercinta ini semenjak mencapai kemerdekaan.

6. Sememangnya, tanpa pancang-pancang utama negara ini tidak mungkin transformasi monumental Malaysia boleh berlaku daripada sebuah negara membangun yang bergantung kepada ekonomi pertanian dan eksport komoditi, muncul sebagai sebuah negara perindustrian moden yang kini menjadi antara dua puluh negara perdagangan terbesar di dunia.

7. Sehubungan dengan itu, kerajaan Tuanku ingin menyeru agar semua pihak memperteguh iltizam bagi mempertahan, mengekal dan menjulang ceracak-ceracak utama ini demi hari muka negara dan warganya.

Ampun Tuanku,

8. Sayugia, ingin patik menyembah maklum bahawa kerajaan Tuanku telah pun memperkenalkan konsep 1 Malaysia sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional yang merupakan faktor tunjang kepada kelangsungan negara.

9. Sesungguhnya, 1 Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1 Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pendahulu-pendahulu patik yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

10. Pastinya, matlamat perpaduan kebangsaan tidak boleh dijayakan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia berjaya jika ia tidak endah kepada sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya pun, dalam sejarah ketamadunan manusia telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa kebijaksanaan yang bersandar realiti telah membuka laluan kepada ketidakadilan.

11. Dalam perihal pengurusan kemajmukan kaum di Malaysia yang menuntut hemah dan hikmah yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, barang tentu akan muncullah sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti.

12. Lantaran itu, kerajaan Tuanku kini mengangkat konsep 1 Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Konsep ini ditiangi oleh beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

13. Menoleh sejarah, semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

14. Pendahulu patik, mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan kaum di bidang politik. Terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia tanggal 16hb September 1963.

15. Begitulah, tragedi hitam 13 Mei pula menyentak rakyat Malaysia kepada realiti bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak boleh dianggap usaha bermusim sebaliknya ia memerlukan komitmen yang berterusan. Bertitik tolak dari situ, Allahyarham Tun Razak Perdana Menteri Malaysia Kedua telah pun meluaskan konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa- prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah melalui Misi Nasional.

16. Makanya, ingin patik pertegaskan di sini bahawa konsep 1 Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada ruh perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malahan Kerajaan Tuanku kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang lalu.

Ampun Tuanku,

17. Selanjutnya, salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar.

18. Oleh sebab itu, baru-baru ini kerajaan Tuanku telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Prioriti kerajaan Tuanku adalah pertamanya, Kerajaan akan memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan ekonomi global, keduanya kita akan berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan ketiganya secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.

19. Bagi memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka Kerajaan Tuanku akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi.

20. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan dengan itu sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan Tuanku akan menimbang semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kotak pemikiran lazim untuk diperhalusi.

21. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah satu inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru.

22. Kerajaan Tuanku juga komited untuk mengambil langkah-langkah yang jitu bagi merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kita akan menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.

Ampun Tuanku,

23. Kesimpulannya, waima apa pun dasar dan program pembangunan yang digubal, semuanya perlu mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang pasti tuntutan 1Malaysia bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan demografi bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh.

24. Akhir kalam, sekianlah sahaja persembahan ucapan patik. Patik dan sekalian rakyat menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah Azza wa Jalla agar Tuanku berdua sentiasa dipelihara Allah SWT. Patik sekalian beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam satu saf yang padu bagi membangunkan “baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” yakni sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan.

Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahamtullahi Wabaratuh.

Leave a Reply