Speeches

Ucapan Sembah Tahniah Sempena Hari Keputeraan Dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Persekutuan Ke Bawah DYMM SBP Yang di-Pertuan Agong

By Saturday June 2nd, 2012 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Mendahulukan segalanya, dilafazkan kalimah-kalimah suci Alhamdullilahi Rabbil A’lamin ke hadrat Allah SWT atas limpah taufik dan inayahNya kepada kita semua. Ucapan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW selaku khatam segala Rasul.

Ampun Tuanku,

  1. Menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Menghadap, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

  1. Sebagai pemula kata, mewakili pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam dan rakyat Malaysia, patik dengan penuh takzim menzahirkan setinggi-tinggi junjungan sempena ulangtahun keputeraan rasmi Tuanku pada hari ini.
  2. Patik juga bersama rakyat seluruhnya merakamkan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi justeru majlis pertabalan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang kedua kalinya baru-baru ini, berserta semua istiadat, telah rampung dengan licin lagi sempurnanya.

Ampun Tuanku,

  1. Biar musim berubah, suasana bertukar, detik-detik yang bersejarah seperti itu dan majlis pada pagi ini menjadi bukti nan sejauh mana pun melangkah mengejar kepesatan, kita tetap berpijak di atas lantai-lantai budaya, tradisi serta warisan yang menjadi kerangka kepada sebuah sistem bernegara yang kukuh.
  2. Sememangnya pun, bukanlah mudah untuk tiba pada tahap ini. Suatu ketika lalu, kita menentang penjajah tanpa pertumpahan darah sehingga memperoleh kemerdekaan. Sesudah itu, bertatih pula membentuk sebuah peradaban bagi negara yang masih baru, sambil berusaha keras untuk melenyapkan kuasa dan dakyah komunis.
  3. Malah, pergeseran kaum juga pernah mengguris lembaran sejarah sehingga meletakkan kita dalam situasi yang getir dan genting. Kendatipun begitu, dengan usaha dan kebijaksanaan para pemimpin sejak dahulu, semua ini mampu kita selesaikan dengan penuh hemah dan hikmah.
  4. Jelas sekali, sebutkanlah apa sahaja yang melanda, suka duka serta cabaran yang dihadapkan, Malaysia terus mengorak masa depannya secara penuh bergaya dalam acuan tersendiri. Bahkan, untuk tempoh berdekad-dekad lamanya, kita sangat beriltizam merapatkan jurang perbezaan kaum, baik dari segi ketidaksamaan budaya, mahupun penguasaan ekonomi. Kita juga tidak jemu-jemu memupuk perpaduan nasional sebagai tiang seri kemakmuran serta kesejahteraan Malaysia.
  5. Selanjutnya, melewati lebih tiga tahun lalu, Dasar Transformasi Nasional atau DTN telah mula dilaksanakan oleh Kerajaan Tuanku dalam ikhtiar untuk mempedati Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 sebagai satu kesinambungan wawasan nasional yang dimaktub lebih 20 tahun sebelum ini oleh pendahulu kepimpinan patik.
  6. Kini, dibalut kemas oleh Gagasan 1Malaysia, roh kebersatuan yang dinamik serta nuansa baru kepada pembentukan bangsa Malaysia semakin hari semakin disemarakkan demi memastikan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada hari semalam dan membina hari esok yang penuh harapan bagi anak-anak generasi hari muka.
  7. Tidak kiralah, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang Murut, orang Dusun, orang Iban, orang Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh termasuk orang Siam serta semua suku kaum lain adalah penting untuk kejayaan negara. Yang lebih utama, kita kini telah sampai ke peringkat meraikan kemajmukan sebagai aset utama negara menuju jaya. Ternyata, kita adalah satu keluarga besar dengan kekukuhan ikatan perpaduan yang bersimpul mati.

Ampun Tuanku,

  1. Begitulah dari masa hingga masa, diselang waktu silih berganti, dunia menyaksikan betapa Malaysia yang tercinta ini dalam tempoh ketamadunan masih muda, sangat gigih mempersadakan kedudukannya yang bitara di peta dunia.
  2. Atas alasan tersebutlah, dalam usaha mengejar impian di samping menepis sebarang ancaman, Kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi. Walaupun tidak disenangi oleh sesetengah puak termasuk kuasa asing, kita tidak akan sesekali tunduk pada mana-mana tekanan dan akan mengambil apa sahaja langkah yang wajar supaya hak majoriti rakyat untuk hidup rukun terus dilestarikan.
  3. Lantaran itu, kita perlu senantiasa menginsafi ehwal jerih payah mentransformasikan Malaysia. Daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang harus mengharungi ketidakstabilan akibat pemberontakan bersenjata komunis dan konflik kaum masa lalu seperti diutarakan tadi, sehingga mencapai letak duduk sebagai watan perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi sedemikian ini, dalam tempoh hanya satu generasi.
  4. Semua itu, bak kata bijak pandai, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Ia telah memercikkan keringat, menitiskan darah, melinangkan air mata dan menuntut pengorbanan semua pihak. Oleh itu janganlah ada kelompok yang cuba memusnahkan segala pencapaian yang ada hanya kerana kepentingan jangka pendek.
  5. Apa yang pasti, Kerajaan Tuanku amat komited bagi menjamin segala teras nasional yang telah membawa kita kepada kejayaan yakni prinsip-prinsip ketertinggian perlembagaan, kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan terus dibentengkan.

Ampun Tuanku,

  1. Dialog nasional yang sihat harus sentiasa digalakkan. Sesungguhnya perbezaan pendapat yang disalur secara membina merupakan suatu rahmat kepada rakyat dan negara. Maslahat kebangsaan sewajarnya dibincangkan secara tertib bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya diluahkan secara tidak keruan lagi menggila di jalanan. Penggunaan taktik-taktik kotor yang tidak bertanggungjawab bagi mencapai objektif politik akan hanya  merugikan rakyat dan negara. Beringatlah bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.

Ampun Tuanku,

  1. Sebagai barisan kepimpinan dipilih secara demokratik, Kerajaan Tuanku ini adalah sebuah  kerajaan rakyat daripada rakyat untuk rakyat. Oleh sebab itulah, kebajikan dan kesejahteraan ramai menjadi matlamat tertingginya. Tambahan lagi, Kerajaan Tuanku ini merupakan Kerajaan yang mendapat mandat majoriti rakyat. Fakta ini perlu difahami seterusnya dihormati oleh semua orang.
  2. Makanya, kita tidak boleh dengan berwenang-wenang membiarkan asas terpenting demokrasi, iaitu keunggulan suara majoriti dimusnahkan oleh mereka yang mahu menegakkan kaedah rimba tidak bertempat  dengan menganggap siapa yang paling lantang, siapa yang paling licik, dan siapa yang paling ganas sebagai kudrat dan kebenaran. Cara gaya dan pegangan seperti ini, wajib ditolak sekeras-kerasnya.
  3. Demikianlah sebabnya, nilai agama dan moral telah meletakkan garis pemisah amat jelas di antara yang hak dan yang batil. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, adalah menjadi tanggungjawab setiap golongan untuk mempertahankan institusi serta sistem yang terbukti memanfaatkan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian apatah lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.
  4. Di sebalik semuanya, dewasa ini, umum makin mengetahui bahawa kewibawaan Kerajaan Tuanku secara sengaja terus cuba dipertikai dan diperlekeh oleh sesetengah kelompok. Pendek kata, apa pun jua kejayaan yang telah dicipta oleh kita, mereka tidak akan memperakuinya dek kerana tidak mendatangkan laba atau keuntungan, malah merugikan mereka.

Ampun Tuanku,

    1. Hakikatnya, dunia tidak akan menunggu atau memperlahankan tempo keterdepanan. Kita akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan sekiranya terbelenggu oleh permasalahan serta perbalahan yang tiada hujungnya.
    2. Justeru,  biar apa yang ingin dimomokkan, walau apa jua halangan, waima sehebat mana rintangan,  Kerajaan tidak sedikitpun terkesima dengan gangguan yang ditimbulkan, malah, akan tetap fokus, cekal lagi tabah bergerak di atas landasan kebenaran demi pertiwi.
    3. Pucuk pangkalnya, Kerajaan Tuanku ini akan terus :

Menegakkan syarat dengan undang-undang;

Menegakkan adat yang dipegang;

Menegakkan amanah yang disandang;

Menegakkan hukum yang ditimbang;

Menegakkan pusaka yang berbilang; dan

Menegakkan janji yang ditimang.

      1. Menyimpul bicara, segala niat murni dan rencana Kerajaan Tuanku ini hanya akan membuahkan hasil yang manis sekira dan seandainya mendapat kefahaman serta kerjasama seluruh rakyat. Oleh yang demikian, kita sentiasa menyeru agar setiap seorang warga Malaysia khususnya golongan muda untuk menyambut aspirasi dan mendokong islah serta pembaharuan yang sedang diperbuat Kerajaan yang mentadbir ini.

Ampun Tuanku,

      1. Pada kesempatan hari keputeraan ini, moleklah sekali lagi, patik mewakili pihak pentadbiran dan hamba rakyat bagi menyatakan betapa bertuah sekalian yang ada kerana dinaungi oleh Tuanku yang sangat berpengalaman. Sesungguhnya, Raja dan rakyat berpisah tiada, jauhnya tidak berjarak, dekat tidak berantara. Akan kekal akrab dan bersebati, menjadi lambang dan ilham yang penuh bererti.
      2. Semoga Allah SWT memelihara dan melanjutkan usia Tuanku serta Raja Permasuri Agong dalam keadaan sihat walafiat bersemayam di atas tahkta persekutuan dengan sepenuh kemuliaannya.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ampun Tuanku

Leave a Reply