AudioFeatured Articles

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Tuduhan Songsang Pembangkang Mengenai GST

By Friday August 4th, 2017 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia yang dikasihi, baru-baru timbul lagi tuduhan tentang rasional pengenalan GST di Malaysia, di mana pembangkang mengatakan GST dikenakan kerana 1MDB.

Tuduhan songsang ini adalah satu lagi percubaan meraih sokongan meskipun pembangkang memahami tujuan sebenar GST diperkenalkan dan meskipun mereka pernah berkali-kali menyatakan akan turut mengekalkan GST.

Selama ini pendapatan negara banyak ditampung hasil minyak bagi memastikan perkhidmatan awam dan perkhidmatan asas dapat dinikmati rakyat.

Namun, pada tahun 2014, harga minyak global mula menjunam, dan Malaysia turut terkesan. Keadaan ini menyebabkan hasil negara ketika itu berkurang sehingga lebih RM40 bilion, satu jumlah yang pasti menyebabkan banyak perkhidmatan terpaksa dihentikan.

Menyedari bahawa kebergantungan hasil negara pada industri minyak tidak stabil, GST diperlukan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan asas dapat diteruskan.

Sehingga hari ini kualiti hidup rakyat masih terjaga kerana dibiayai GST. Hakikatnya tidak ada cukai yang popular tidak kiralah sebanyak mana pembangunan dan kemudahan yang wujud hasil cukai tersebut.

Untuk mengatakan GST berpunca dari kegagalan urus tadbir kerajaan adalah satu penipuan kerana 160 buah negara lain turut melaksanakan GST termasuk negara-negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada.

Malah, Arab Saudi, negara pengeluar minyak tertinggi turut memperkenalkan GST seperti negara-negara lain di seluruh dunia.

Tetapi kerana taksubnya Dr. Mahathir untuk menjatuhkan kerajaan, beliau memaksa pemimpin pembangkang lain untuk menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan GST walaupun mereka semua sedar yang tanpa sumber pendapatan menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.

Namun Dr. Mahathir tidak kisah asalkan beliau dapat menjatuhkan kerajaan.

Saya berharap rakyat Malaysia menolak dakyah dan penipuan yang hanya bertujuan mengumpul sokongan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada negara dan masyarakat.

Sekian sahaja dari saya, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply