Audio

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Komitmen Beliau Bagi Menambahbaik Kualiti Perkhidmatan Kerajaan

By Friday May 6th, 2016 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Melihat negara kita membangun merupakan satu perkara yang sentiasa menguatkan semangat saya untuk terus berkhidmat untuk rakyat.

Setiap rumah, sekolah, hospital, dan jalan raya yang dibina dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dalam perjalanan saya ke tempat kerja, saya sentiasa memikirkan bagaimana saya dapat memudahkan rakyat Malaysia bergerak ke tempat kerja mereka. Justeru, kita bina MRT, BRT dan menambah jumlah keretapi di KTM.

Apabila saya ternampak seorang bapa di atas motosikal sedang menghantar anak ke sekolah, saya memikir bagaimana kita boleh menambahbaik pendidikan anaknya supaya satu hari nanti dia boleh membantu keluarganya dan berkhidmat untuk negara.

Apabila saya melawat pesakit-pesakit di hospital, saya memikirkan bagaimana kita boleh menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan. Sistem kesihatan negara kita telah diiktiraf antara yang paling baik di dunia. Kini, kita perlu memperbanyakkan lagi pusat-pusat kesihatan agar lebih ramai rakyat boleh memanfaatkan kemudahan ini.

Apabila saya bertemu dengan anak-anak muda, saya memikirkan bagaimana mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang baik. Maka kita menubuhkan pelbagai industri dan menarik pelabur luar bagi membuka syarikat-syarikat yang boleh menawarkan peluang pekerjaan buat anak-anak muda kita.

Kadang kala hasil usaha kita tidak sempurna dan perlu diperbaiki. Namun, saya tetap komited untuk sentiasa menambahbaik kualiti perkhidmatan kerajaan. Sesungguhnya, usaha-usaha memperbaiki kehidupan rakyat seperti inilah yang memberikan kepuasan mutlak bagi diri saya.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply