AudioFeatured Articles

Ucapan Perdana Menteri mengenai kebajikan warga Felda

By Friday June 2nd, 2017 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Malaysia merupakan negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia dan juga pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia. Sebahagian besar kejayaan ini adalah hasil titik peluh warga Felda. Warga Felda adalah sebuah komuniti yang sangat dekat di hati saya kerana telah dibangunkan oleh Allahyarham ayahanda saya Tun Razak.

Model perniagaannya telah meningkatkan taraf hidup warga Felda dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Oleh kerana Felda memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan sosioekonomi negara, kerajaan sangat menitikberatkan kebajikan mereka.

Pada masa kini, kita sedang mengusahakan rumah generasi kedua yang membolehkan warga Felda memiliki rumah dengan harga sekitar RM70,000. Sebanyak 8,470 unit rumah generasi kedua sedang dibina dalam Fasa 1 dan 4,990 buah rumah dijangka siap pada tahun ini.

Felda juga mempunyai tabung bantuan kebajikan peneroka yang membolehkan peneroka menerima bantuan kewangan maksimum RM10,000. Bantuan kewangan ini adalah untuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan kemusnahan harta disebabkan bencana alam. Permohonan juga boleh dibuat untuk membeli alat bantuan kesihatan.

Dalam bidang pendidikan pula, anak-anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT tempatan dan luar negara berhak menerima insentif kewangan seperti skim insentif anak peneroka dan dana khas pelajar cemerlang ke luar negara.

Satu lagi bantuan yang teristimewa yang diberikan oleh Felda adalah bantuan membaik pulih rumah yang sedia ada termasuk pembesaran rumah dengan nilai maksimum sebanyak RM40,000, dan pinjaman ini adalah pinjaman tanpa faedah.

Akhir kata, selagi saya memegang jawatan Perdana Menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan warganya terjamin.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakuh.

Leave a Reply