AudioFeatured Articles

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Isu Korea Utara

By Friday March 10th, 2017 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kekuatan sesebuah negara boleh diukur dengan melihat kepada kebersatuan rakyat ketika menghadapi krisis atau ancaman dari luar.

Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini.

Tatkala kerajaan sedang meneruskan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang disekat Korea Utara sekarang, saya ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang agar bersatu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang sedang dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini.

Ini bukan pertama kali Malaysia menghadapi saat-saat getir membabitkan hubungan luar negara, krisis seperti MH370, MH17 dan Lahad Datu telah membuktikan bahawa Malaysia berpengalaman dalam menangani isu berkaitan kuasa asing yang rumit.

Insya-Allah, kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah yang Maha Kuasa sekali lagi untuk mengembalikan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan selamat dan merungkai segala persoalan mengenai pembunuhan yang berlaku di tanah air kita ini.

Malaysia sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua negara. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna sesiapa dari kalangan mereka boleh menyalahgunakan segala layanan baik yang Malaysia telah berikan selama ini dan melanggar undang-undang negara kita atau melakukan sesuka hati mereka tanpa menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Sekian sahaja dari saya.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply