Audio

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Hubungan Kekeluargaan

By Friday May 13th, 2016 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Sejak akhir-akhir ini, jadual tugasan saya sangatlah padat dengan pelbagai lawatan, pertemuan bersama rakyat, mesyuarat, pelancaran projek dan kini pilihan raya di Sarawak.

Namun, saya juga kadang kala terkenang akan anak-anak saya yang sudah dewasa dan sudah jarang bersua muka kerana terlalu sibuk dengan keadaan yang saya hadapi.

Kalau boleh saya sangat ingin meluangkan lebih masa bersama-sama dengan anak-anak, isteri dan keluarga saya. Namun, sebagai seorang Perdana Menteri, rakyat juga merupakan keluarga besar yang perlu saya berikan sepenuh perhatian.

Walau bagaimanapun, tidak kira sesibuk mana pun kita, anak-anak perlu kita jenguk-jenguk juga. Jikalau tidak dapat berjumpa kita tetap berhubung melalui telefon, WhatsApp dan Skype.

Begitu juga dengan ibu bapa kita yang sudah menjangkau usia, sesibuk mana kita, perlu kita menjaga kebajikan mereka serta menjenguk mereka.

Saya sangat bertuah kerana ibu saya masih dikurniakan umur yang panjang dan sihat. Alhamdulillah. Anak-anak saya juga sudah dewasa dan ceria. Keluarga saya kekal bahagia.

Jadi saya ingin memperingatkan diri saya dan seluruh warga Malaysia bahawa kita dikurniakan keluarga bahagia dan sementara mereka semua masih ada, kita janganlah lepaskan peluang untuk bersama mereka sebanyak mungkin.

Hakikatnya, di penghujung kehidupan kita, tidak ada seorang pun yang ingin meluangkan sedikit lagi masa di pejabat. Sebaliknya, kita semua ingin meluangkan setiap saat bersama keluarga kita.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply