Audio

Ucapan Perdana Menteri mengenai Cabaran Ekonomi Semasa

By Friday January 15th, 2016 No Comments

Description: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak berbicara mengenai cabaran ekonomi semasa berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pada tahun ini, kerajaan akan memberi tumpuan yang lebih kepada ekonomi negara berikutan dengan beberapa cabaran yang sedang kita lalui ketika ini khususnya kejatuhan harga minyak mentah dunia secara amat ketara yang akan memberi kesan terhadap kos sara hidup.

Kita perlu faham bahawa ketidaktentuan ekonomi negara adalah bukan dalam kawalan kita.
Jadi janganlah kita mudah mempercayai tuduhan yang bermotifkan politik yang cuba menyembunyikan hakikat ini.

Apabila pendapatan negara melalui hasil minyak merudum dengan ketara lebih daripada 30 billion, maka pendapatan melalui sumber lain perlu ditingkatkan untuk menampung kekurangan tersebut.

Fenomena ini memang pahit bagi negara namun secara tidak langsung sektor awam dan swasta terdorong untuk menilai semula tahap kecekapan perjalanan dan operasi syarikat dan juga sumbangan daripada para pekerja.

Kita perlu menjalankan usaha-usaha yang lebih kreatif dan inovatif untuk mengoptimumkan kos tadbir urus serta memaksimumkan produktiviti.

Dengan ini, hasil entiti awam dan swasta dapat dipertingkatkan lagi.

Kesannya pendapatan negara turut bertambah dan ia sedikit sebanyak dapat menampung kekurangan pendapatan daripada kemerosotan hasil minyak kita.

Peningkatan kadar pendapatan melebihi kadar inflasi maka akan berkuranganlah beban kos sara hidup yang dirasai.

Jadi marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan kita sepanjang tahun 2016 ini.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply