Speeches

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62

By Thursday December 8th, 2011 No Comments

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung.

Bukan sahaja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini tetapi yang paling penting, persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya, elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dahulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita.

Saya memanjat rasa syukur kepada Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif.

Saya menghargai Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden yang telah memberi sokongan yang padu kepada ucapan itu.

Saya juga rasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan ini, semua perwakilan telah memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah juga mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang telah saya bentangkan dalam ucapan itu telah berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO ialah parti rasis.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyeru orang UMNO supaya memberi sokongan sepenuhnya kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua Bahagian Kepala Batas.

Kelmarin, saya telah menyenaraikan beberapa tokoh tersohor yang telah banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan yang besar kepada parti.

Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti namun saya telah menerima beberapa SMS yang minta saya memberi pengiktirafan kepada Tun Mustapa, kerana beliau telah bubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya ekspektasi saya apabila Persidangan Agung UMNO kali ke-62 ini diadakan.

Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti letakkan beberapa sasaran sama ada sasaran tersurat atau pun tersirat.
Saya nak kongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai, maka persidangan ini boleh dianggap sebagai satu persidangan yang amat berjaya.

Sasaran pertama, saya hendak persidangan ini dapat menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan sahaja orang di dalam dewan ini tetapi yang berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen, yang ada di ruang-ruang dalam PWTC, pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga, UMNO sebagai satu organisasi politik, UMNO sebagai teras kepada politik tanah air kita ini, berada di dalam keadaan yang kukuh dan padu.
Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini; sebab banyak orang sebut kemungkinan persidangan ini yang terakhir sebelum pilihan raya, orang sebut; saya hendak persidangan ini menggambarkan bahawa kita berada dalam kesiapsiagaan yang amat baik bersedia untuk turun ke medan bakti, berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti yang bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga, saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan, gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai Pelan Transformasi Nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat, saya inginkan bahawa persidangan ini, segala-gala yang menjadi pengisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia, 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia, boleh meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Mereka tidak akan kecewa kalau meletakkan pengharapan atas bahu dan jemala UMNO ini.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi, saya cuba buat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI. Wakil Sabah telah beri KPI kepada saya, tapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini.

Mungkin orang kata saya ini ‘bias’, saya presiden kepada parti, tentulah saya beri markah yang tinggi.

Tetapi, saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga merupakan persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah, lebih kuat daripada ikrar baiah di kalangan para perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian kerana itu membuat, mencatit satu sejarah baru dalam perjuangan parti.

Baik kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya juga bertanya pada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang tanya ke arah mana kita nak bawa negara kita?

Kalau orang tanya dalam tahun-tahun mendatang ini, apakah di bawah kepimpinan yang sedia ada ini, apakah yang boleh mereka harapkan sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita secara senyap mahupun secara terbuka, tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua, dan ini ada sangkut paut kita dengan keinginan UMNO, dengan perjuangan roh yang kita bawa ini.

Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti, cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, Insya-Allah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), itu pertama.

Yang kedua, dalam konteks negara maju itu, kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi, siapa kata kita tak ada agenda Melayu atau pun agenda bumiputera? Memang kita ada!

Bila saya laksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak kata ketepikan agenda Melayu/bumiputera, bila saya turun ke bawah, ke ladang estet, ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa kurang komitmen terhadap kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Saya lakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik, kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan daripada orang-orang lain.

Sebab itulah saudara-saudari sekalian, kita buat macam-macam perkara untuk mencapai status negara maju, kita ada Pelan Transfomasi Ekonomi, 1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun.

Kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi lima, enam peratus setahun, kita dah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju.
Dan Alhamdulillah, dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian, bila ekonomi Eropah merudum, bila ekonomi Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan stabil, dan dapat menunjukkan pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, bila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam kepala dia penganggurannya sudah melebihi sembilan peratus. Saya boleh sebut pada dia, “kita ada full employment di Malaysia Mr. President”.

Kalau Amerika pertumbuhannya satu dua, peratus, saya boleh cakap pada dia, “Mr. President, kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter”.

Sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara kita, bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi membuktikan bahawa dalam apa jua keadaan, mereka boleh letakkan harapan, trust in us to lead the nation for Malaysia, sebab kita tak pernah mengecewakan rakyat.

Yang jadi masalah ni, puak sana… Dia ni bukan kuat sangat, tapi dia pandai berkokok. Dia berkokok kuat macam ayam tapi telurnya satu je, kadang-kadang tak bertelur pun. Ayam jantan!

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, main sini main sana…

Bohong, tak berhenti bohong. Lepas itu, dia kata kamilah juara tapi parti sendiri kucar kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah di Malaysia, apa dia? Saya tak payah sebut, perwakilan sebut… kuat sikit… 16 September…

Dia nak berarak ke Putrajaya, dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu untuk mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri.

Saya bersama dengan Pak Lah masa tu, kita pun geleng kepala, daripada mana dia bercakap ni? Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala.

Lepas tu, dia kata 30 orang kita bersedia untuk menyeberang sebelah sana. Kita pun orang kata play safe, kepung dia, jaga dia, ‘bidaah’! Tawaran ada, tapi tak ada seorang Ahli Parlimen kita yang menyeberang sebelah sana.

Ada dijanji macam-macam jawatan. Tapi dia pandai, dia gunakan orang yang ketiga. Orang kata third party sampaikan. Satu proses yang tidak demokratik.

Lepas tu, dia bagi tahu, tentera Malaysia ada di belakang dia, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Aziz menyokong dia.

Saya kawan baik dia (Aziz), dia setia dan taat pada kerajaan. Ini pembohongan yang terbesar dalam sejarah. Lagi apa? Banyak lagi..

Dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang. Isteri saya yang duduk diam-diam tu pun kena serang juga.
Saya dah bersumpah atas nama Allah di masjid, empat kali saya bersumpah… Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah?

Ada dia bersumpah di dalam masjid? Ada dia bersumpah di luar masjid? Ada dia junjung al-Quran?

Di mahkamah pun tak berani bersumpah. Masuk dalam kandang orang bersalah, tak berani bersumpah, buat kenyataan politik.

Tapi ini bukan soal politik, ini bukan kes kita lawan dia, ini kes Saiful lawan dia. Tak kena mengena dengan UMNO!

Siapa pilih Saiful? Lain tu dot dot dot… Banyak lagi cerita sebenarnya, banyak lagi. Macam inikah orang nak jadi Perdana Menteri?

Banyak lagi bab-bab lain boleh cerita. Kita tengok parti tu parti anak beranak. Saya dah sebut perkara tu.

Parti ini mencatat sejarah dunia. Dia ada rekod Guiness Book of Records, sebab parti yang paling ramai sekali orang keluar daripada parti.

Saya dah buat semakan, enam Ahli Parlimen, lima ADUN, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ahli Majlis Tertinggi,

Tak cukup dengan itu, lawyer peribadi pun dah keluar jadi Bebas. Pakai Pengerusi DAP jadi lawyer dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak?
Lawyer tentu tahu segala-galanya kan?

Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, jalan lain macam sekarang sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut tentang demokrasi, ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau demokrasi ada, takkan Datuk Zaid Ibrahim kata tak tahan lagi. Dia kata, sebab bila bilang undi, undi tu lebih dari perwakilan.

Lepas itu, kata pilihan raya kita tak betul, bidaah. Ini orang Pahang cakap bidaah, tak betul.
Bila masa mengundi tu, dia ada tak? Pembangkang ada tak dalam tempat pengundi tu? Ada!

Dia ada, kita pun ada. Dia letak orang yang ‘cengei’ sikit, kita pun cuba letak orang ‘cengei’ sikit tapi kadang-kadang orang kita kalah daripada dia.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi, jadi macam zaman peristiwa Hosni Mubarak di Egypt, boleh dapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulate peti undi ini, ingat kita nak lepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak lepaskan negeri-negeri lain ke tangan mereka? Ingat kita nak biarkan Kelantan, 21 tahun Kelantan di bawah Pas? Tentu tidak!

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur! Tapi dak, buat Bersih 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium. Sebab apa? Sebab skrip dah ada dah.

Skrip Mat Sabu dah ada, skrip dia masuk hospital dah ada. Sebab bila tiba-tiba kena papah pula tu, Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood!

Dah siap dah skrip tu, siap-siap masuk dalam hospital terlentang, baju kuning lagi. Kalau masuk hospital ganti la baju, ini tak ganti, semangat penipu la ni.

Tak kena apa pun, kita dah bagi tahu polis, saya dah bagi tau Datuk Hisham, kata jangan usik dia, polis tak usik dia pun.

Tapi dia buat macam dah kena belasah. Tak kena, orang tak jentik dia pun, tak! Tapi dah siap, skripnya dah siap nak masuk dalam YouTube nak tayang ke seluruh dunia kononnya kitalah police state di Malaysia.

Lepas tu, Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar.. kata polis langgar, dia ada kes.
Saya setuju perwakilan kata lagi banyak dia cakap, lagi untung kita, aset kita.
Parti Pas ni, saya nak kata apa perkataannya? Tahun sudah saya kata bangang, saya nak kata perkataan ‘kedalui’. Kedalui ni bahasa orang Pekan.

Sebab dia dah tahu dia dah diperkudakan oleh DAP, betul tak? Diperalatkan oleh DAP, kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada jadi rakan DAP!

Kerana nak kerusi, pakat. Inilah sebabnya, saya cakap di sini saya tak perlu yakin pada tuan-tuan, saya nak yakin orang di luar, 12 juta lebih pengundi.

Yakinlah jika ada pakatan yang rapuh seperti itu, yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian yang bertentangan antara satu sama lain, kita tak boleh serahkan negara kita tercinta ini kepada mereka!

Bab pembangkang banyak cerita lagi, lain-lain hari kita cerita lagi. Saya nak sebut bahawa tentang parti yang kita kasihi. Transformasi yang paling mencabar sekali ialah transformasi pada diri kita, betul tak?

Sebab, peristiwa hijrah dah berakhir tetapi perubahan yang besar sekali berlaku pada diri kita! Kita cakap tentang parti, lepas ini kita nak balik kawasan. Ujian terbesarnya ialah sejauh mana apa yang kita perkatakan kita bawa ke kawasan.

Kita dah baiah tadi, kita dah berikrar, kita balik kawasan janganlah kita lihat Ketua Bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah.

Kalau kita tengok… Ketua tengok pada timbalan, jangan pula dia kata, ‘eh! dia ni nak jawatan saya’. Bagi kerjasamalah… Kasih sayang yang sejati.

Kita mesti ada rasa, semangat macam Timbalan Presiden sebut tadi, semangat sepasukan sebab bila kita buat analisis, yang dulu dan sebelum ini kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati parti dia sendiri, betul tidak? Kalau semuanya taat dan setia, Insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa!

Jadi lepas ni kita balik, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana kita berdepan dengan ujian paling besar.

Beringatlah, pilihan raya ini adalah yang paling getir dalam sejarah tanah air. Pilihan yang dihadapkan kepada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah benderang bagi sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional atau menempa jalan tragis penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan yang bakal dibuat kali ini bukan sahaja tentang UMNO dan Barisan Nasional, tetapi kemuncak kepada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhan.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan dan kemakmuran.

Kesimpulannya, UMNO kini sudah kembali berada di trajectory dan landasan yang betul! Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Yakinlah saudara dan saudari, percayalah saudara saudari, inilah petanda-petanda transformasi parti besar-besaran telah pun bermula.

Lalu pada detik, saat dan ketika bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada, melengkapkan diri masing-masing!

Dan kita akan turun ke medan juang sebagai satu saf yang padu, sebagai satu pasukan yang kukuh, sebagai satu barisan yang kuat dan jemala yang ampuh (tepukan).

Sejak berdekad-dekad lamanya, sejak berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang telah membela nasib dan maruah umat Melayu!

Melorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa, sebagai jurangan perisai penyelamat nusa.

Setelah mandat diberikan, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya pada saat dan detik ini pada saat dan detik ini, kita tak punyai pilihan.

Insaflah… Insaflah saudara saudari,

Andainya UMNO tidak kita tatang, andainya UMNO tidak kita bela, andainya UMNO kita biarkan, andainya UMNO sudah tersungkur rebah dan andainya UMNO lenyap, apakah masih terjunjung Islam yang suci? Apakah masih terpandang mulia orang-orang Melayu? Apakah masih disanjung raja-raja kita?

Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan akan tiba di muka pintu. Tunggulah kehancuran akan terbangsatlah Melayu merempat di tanah sendiri!

Hindarilah khianat, pembelot dan adu domba. Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya merobohkan lantai-lantai istana dan meruntuhkan singgahsana.

Sekiranya perjalanan mulia ini dihalang seribu rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh keberanian.

Leave a Reply