Speeches

Ucapan di Majlis Makan Malam Rasmi Jasamu di Kenang Sempena Persaraan Yabhg. Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima

By Wednesday May 6th, 2009 No Comments

UCAPAN

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABD. RAZAK

PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI MAJLIS MAKAN MALAM RASMI

“JASAMU DI KENANG” SEMPENA PERSARAAN

YABHG. TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI

PERDANA MENTERI KELIMA

PADA 6HB MEI 2009 (RABU), JAM 8.30 MALAM

DI PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah

YABhg. Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan YABhg. Tun Jeanne Binti Abdullah

YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri dan YABhg. Puan Sri Datin Hajah Noorainee Binti Haji Abdul Rahman

Para hadirin yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita bersama-sama di Majlis ini. Pada malam yang sungguh bermakna ini, kita akan sama-sama meraikan seorang tokoh dan juga seorang negarawan yang telah memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lima iaitu YABhg. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi.

2. Sebagaimana kita sedia maklum, YABhg. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi lahir di dalam keluarga yang aktif di bidang politik, bermula dengan nenda, ayahanda dan seterusnya ibunya. Dari itu, tidak hairanlah ianya telah mencetus minat yang tinggi terhadap dunia politik di dalam diri beliau dan membentuk sifat kepimpinan sejak dari awal. Walau bagaimanapun, minat ini telah terpaksa di pendam buat seketika. Apabila beliau menyertai perkhidmatan awam selama 14 tahun mulai tahun 1964 sehingga tahun 1978. Dalam jangka masa tersebut, YABhg. Tun juga telah berkesempatan berkhidmat dengan ayahanda saya Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua.

3. Oleh sebab minat politiknya yang amat membara beliau telah meletakkan jawatannya sebagai anggota perkhidmatan awam dan seterusnya bertanding sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas dari sejak tahun 1978 sehingga kini. Dalam jangka masa hampir 31 tahun sebagai anggota pentadbiran YABhg. Tun telah di amanahkan dengan pelbagai jawatan bermula dengan Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian yang sama. Beliau juga telah memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan beberapa Kementerian seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Luar Negeri. Beliau seterusnya telah diberi kepercayaan sebagai Timbalan Perdana Menteri hampir 5 tahun dan akhirnya menjadi Perdana Menteri mulai 31hb Oktober 2003.

4. Izinkan patik mengimbas kembali sumbangan YABhg. Tun semasa menerajui tampuk kepimpinan negara. Slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang yang di bawa oleh YABhg. Tun telah menyuntik semangat keyakinan diri pada rakyat Malaysia untuk menjadi satu bangsa yang boleh dan berupaya membawa negara ke tahap kegemilangan.

5. Mentaliti untuk sentiasa menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan yang telah dijadikan sebagai salah satu teras utama kepada Misi Nasional Negara. Penekanan kepada pembangunan modal insan telah berjaya mengimbangkan pembangunan dari segi fizikal, mental dan spiritual. Kita maklum bahawa modal insan merupakan input terpenting dalam ekonomi berlandaskan teknologi dan pengetahuan. Komitmen terhadap Misi Nasional ini telah digerakkan bersekali dengan membekalkan ilmu dan meningkatkan kemahiran serta memberikan pengisian dalaman yang amat penting dalam membangunkan barisan rakyat Malaysia yang memiliki jati diri dan daya tahan untuk bersaing sama taraf dalam dunia sejagat.

6. Hasrat untuk melahirkan modal insan yang mempunyai “Minda Kelas Pertama” sememangnya menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Sehubungan itu, usaha ini telah dipertingkatkan oleh YABhg. Tun melalui pelaksanaan Pelan Integriti nasional di mana agenda integriti telah di gerakkan dengan melibatkan perancangan menyeluruh oleh semua sektor secara bersepadu. Penggubalan Pelan Integriti Nasional yang merupakan satu pelan induk telah mengambil kira strategi dan hala tuju semua sektor masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.

7. Di samping itu, bagi menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi serta kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat, kerajaan pada tahun 2004 telah melancarkan konsep Islam Hadhari yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju berasaskan acuan Malaysia sendiri. Konsep Islam Hadhari adalah merupakan kesinambungan kepada dasar-dasar sedia ada dan pada asasnya merujuk kepada amalan negara yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan yang bersifat komprehensif dan seimbang.

8. Keutuhan negara akan bertambah kukuh jika amalan kurang sihat dihapuskan. Oleh itu, YABhg. Tun juga telah menggerakkan kepada penambahbaikan dan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah menjadi sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM ini lahir dari keinginan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang dihormati dan dipandang tinggi, yang mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah dalam semua aspek kehidupan. Dengan segala pembaharuan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan, SPRM mampu untuk menjadi sebuah institusi anti rasuah yang bukan sahaja unggul di tanah air malah juga di persada antarabangsa.

9. Bagi memastikan keterbukaan dalam sistem perundangan negara, YABhg. Tun juga telah membentuk sebuah Suruhanjaya khusus bagi pelantikan hakim. Ini bertujuan memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat untuk melihat ketelusan dan keadilan dalam sistem kehakiman negara. Penubuhan Suruhanjaya ini dianggap sebagai langkah yang bersesuaian ke arah merubah sistem pelantikan kehakiman negara. Inilah yang diharapkan oleh rakyat yang mahukan sistem kehakiman negara yang mempunyai integriti dan mengamalkan ketelusan.

10. YABhg. Tun amat sensitif terhadap pentingnya rakyat diutamakan khususnya dalam urusan mereka dengan kerajaan. Ekoran ini sistem penyampaian sektor awam telah mengalami perubahan yang ketara. Contohnya, sektor awam telah berubah daripada hanya melaksanakan peranan kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang kepada peranan pemudah cara serta membantu sektor swasta dengan lebih cekap, lebih cepat dan lebih telus. Pasukan Petugas Khas Pemudahcara atau PEMUDAH yang ditubuhkan oleh YABhg. Tun telah berjaya mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui pengubahsuaian proses dan prosedur kerja serta dasar dan peraturan. Di samping itu, konsep “no wrong door” yang telah dilaksanakan dengan melibatkan semua kementerian dan agensi telah diterima baik oleh rakyat.

11. Dalam tempoh lima dekad yang lalu, kita telah berjaya memastikan pembangunan negara berlangsung dengan pesat. Justeru, bagi memastikan faedah pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat, pelaksanaan pembangunan wilayah ekonomi melalui konsep koridor bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang secara sama rata ke seluruh tanah air telah mendapat sambutan yang baik. Inisiatif koridor yang dijangka memberi nilai tambah ini akan dapat mengurangkan jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar serta di antara wilayah.

12. Konsep pembinaan koridor berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama. Setiap negeri mempunyai kekuatannya tersendiri, oleh itu jika digabungkan, kekuatan ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat kepada semua rakyat. Inisiatif koridor dijangka akan berupaya merangsang pembangunan sosioekonomi bagi kesejahteraan masyarakat setempat. Untuk terus mendapat tunjuk ajar YABhg. Tun, kerajaan melantik Tun Abdullah Badawi sebagai Penasihat Pembangunan Koridor Negara.

13. YABhg. Tun juga telah memberi nafas baru kepada sektor pertanian dalam memodenkan sektor tersebut melalui penggunaan sains, teknologi serta bioteknologi. Perubahan dasar pertanian telah memberi fokus kepada strategi pertanian secara komersial yang merupakan satu perniagaan yang menguntungkan. Transformasi sektor ini telah sedikit sebanyak dapat membela nasib warga tani dengan meningkatkan pendapatan mereka.

14. Di bidang antarabangsa pula ketokohan YABhg. Tun khususnya di kalangan negara-negara Islam telah menyebabkan beliau diberi kepercayaan untuk memegang tampuk Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

15. Sejak mengambil alih pemerintahan, YABhg. Tun telah mengamalkan kepimpinan yang memperlihatkan sikap keterbukaan dan bersedia menerima teguran. Amalan keterbukaan ini telah menyumbang kepada penyuburan semangat demokrasi dan ekoran daripadanya masyarakat sekarang lebih sedar tentang hak-hak mereka dan kewajipan kerajaan. Keadaan ini menuntut kerajaan supaya lebih responsif kepada rakyat.

16. YABhg. Tun memang terkenal sebagai seorang yang sungguh mesra rakyat. Lantaran itu, beliau cukup popular dengan gelaran ‘Pak Lah’ di kalangan rakyat jelata mahupun oleh Ahli-ahli Jemaah Menteri. Gelaran ‘Pak Lah’ ini begitu sinonim dengan beliau.

17. Di kesempatan ini patik ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YABhg. Tun kerana telah memberikan kepercayaan dan laluan kepada patik untuk menerajui kepimpinan yang telah YABhg. Tun tinggalkan. Sesungguhnya peralihan kepimpinan yang telah dilakukan di dalam keadaan yang tertib, licin dan sempurna telah dapat membuktikan bahawa kerajaan kita adalah sebuah kerajaan yang begitu stabil dan mantap. Proses peralihan kuasa sebegini amatlah penting terutama bagi negara kita yang sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi dan dalam usaha transformasi untuk menjadi sebuah negara maju.

18. Patik amat bersyukur kerana telah diwariskan dengan sebuah kerajaan yang berjaya mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan perpaduan kaum dan membangunkan ekonomi bagi mengisi erti kemerdekaan yang telah dicapai lebih 52 tahun yang lalu. Oleh itu, patik akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga bagi meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh YABhg. Tun dan kepimpinan terdahulu yang telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara membangun yang telah diiktiraf dunia.

19. Patik bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada YABhg. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi dan YABhg. Tun Jeanne Abdullah serta seluruh anggota keluarga beliau yang turut sama melakukan pengorbanan besar untuk membolehkan YABhg. Tun Abdullah menumpukan tenaga, pemikiran dan masa, mengabadikan diri berkhidmat untuk negara.

20. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga hari-hari persaraan YABhg. Tun, dan YABhg. Tun Jeanne Abdullah dilimpahkan segala rahmat dan keberkatan, disamping berada dalam keadaan sihat lagi sejahtera. InsyaAllah, khidmat bakti beliau akan diterima oleh Allah S.W.T. sebagai amal ibadah, dianugerahkan ganjaran dunia dan akhirat. Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian, menjadikan Malaysia sebuah negara maju, aman, makmur dan berjaya.

21. Sebagai akhir kata, patik bagi pihak Kerajaan dan rakyat setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada Seri Paduka baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kerana berkenan berangkat ke Majlis Jasa Mu Dikenang ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply