News_archive

Turkmenistan, Malaysia Berminat Tingkat Kerjasama Keusahawan

By Wednesday December 7th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 7 DIS (Bernama) — Turkmenistan dan Malaysia menyasar kerjasama keusahawanan dan penyertaan dalam projek pelaburan bersama di masa depan, kata Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov Rabu.

“Kami merundingkan potensi kerjasama rapat sedia ada di kalangan usahawan kedua-dua negara. Kami berharapkan sumbangan perniagaan Malaysia kepada pembangunan ekonomi kami,” katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Rabu.

Terdahulu, Berdimuhamedov membuat kunjungan rasmi ke pejabat Najib.

Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir di sidang media itu ialah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berdimuhamedov berkata mesyuarat dengan Najib hari ini menunjukkan kedua-dua negara berminat meneroka peluang pelaburan, mengembangkan perdagangan dan kerjasama ekonomi dalam pelbagai hala.

“Kemungkinan kerjasama efektif dalam melaksanakan projek bersama dalam sektor tenaga, pengangkutan, telekomunikasi, pembinaan, pemprosesan minyak dan gas, industri kimia, teknologi tinggi dan pelancongan adalah besar.

“Rundingan itu juga menunjukkan pengalaman kerjasama positif meningkatkan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata Turkmenistan dan Malaysia akan bekerjama mengukuhkan peranan negara membangun dalam politik global.

“Kedua-dua negara akan menyumbang kepada komuniti antarabangsa dalam memerangi keganasan, penyeludupan dadah dan jenayah terancang,” katanya.

Berdimuhamedov berkata perbincangan pelbagai isu dan prospek kerjasama dua hala dengan Najib adalah positif dan efektif.

“Kami juga membincangkan isu-isu penting politik serantau dan antarabangsa dan mentakrifkan aspek konkrit kerjasama masa depan.

“Saya amat yakin perjanjian yang dimeterai semasa kunjungan ini akan memberikan dorongan kukuh untuk membangunkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama dalam perdagangan, ekonomi, budaya, sains dan kemanusiaan dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Berdimuhamedov dan Najib menyaksikan permeterian dua perjanjian — Kenyataan Rasmi Bersama dan Program Kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Luar Turkmenistan (diwakili oleh Rashid Meredov) dan Kementerian Luar Negeri Malaysia (diwakili oleh Anifah) bagi 2012.

Sumber : Bernama

Leave a Reply