Blog

Tun Ghafar Baba Wira Bangsa

By Saturday April 23rd, 2016 No Comments

ghafar1

Allahyarham Tun Ghafar Baba amat rapat dengan Allahyarham Tun Razak dan keluarga saya. Ayahanda saya memandang tinggi kepada Tun Ghafar, pernah sekali Ayahanda berkata kepada saya, orang yang paling pakar dan tahu mengenai politik adalah Tun Ghafar Baba.

Malah, saya tahu bahawa keputusan yang paling memberi kepuasan peribadi kepada Allahyarham Ayahanda adalah apabila melantik Tun Ghafar Baba sebagai pemangku Perdana Menteri suatu ketika dahulu, kerana bagi Ayahanda, Tun Ghafar adalah insan yang paling beliau sanjungi.

ghafar2

Sejak Allahyarham Tun Ghafar Baba sertai UMNO pada 1951, sehinggalah saat beliau pulang ke rahmatullah pada 2006, beliau tidak pernah berhenti menegakkan perjuangan parti UMNO yang amat beliau cintai.

Saya masih ingat sewaktu saya memangku jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika UMNO dilanda krisis teruk 1987, Allahyarham Tun Ghafar adalah antara mereka yang memainkan peranan penting sebagai penenang, mencari jalan mencapai perpaduan dan kesepakatan antara ahli-ahli parti supaya UMNO dapat terus hidup dan berjuang.

ghafar3

Hari ini, genap 10 tahun sejak Allahyarham Tun Ghafar Baba pulang ke rahmatullah, saya kembali ke rumah beliau di Bukit Peringgit, Melaka untuk majlis bacaan tahlil dan doa.

Ahli-ahli keluarga Allahyarham, rakyat Melaka, rakan-rakan seperjuangan Allahyarham dalam UMNO seperti Tun Abdullah Badawi, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam, Tan Sri Syed Hamid Albar dan ramai lagi bersama hadir untuk bertahlil, berdoa dan mengenang jasa Allahyarham Tun Ghafar Baba.

ghafar4

Allahyarham adalah simbol kepada perjuangan UMNO. Beliau pernah berkata, jawatan tidak penting, tetapi yang penting adalah parti UMNO.

Bagi saya, tiga nilai utama yang paling menggambarkan beliau adalah; kesetiaan, ketaatan dan ketulenan. Kesetiaan kepada pemimpin, ketaatan kepada parti UMNO, dan ketulenan beliau terhadap manifestasi imej dan perjuangan UMNO.

Bapa Kemerdekaan kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pernah memberi gelaran “Man of UMNO” kepada Tun Ghafar, membuktikan betapa beliau dipandang tinggi oleh mereka yang mengenali beliau.

Tetapi Allahyarham juga “Man of the people”, pengaruh Allahyarham melangkaui parti, usaha beliau ke arah perpaduan bukan sahaja untuk orang Melayu malah juga kepada semua kaum yang berpayung di bumi Malaysia.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tun Ghafar Baba, negarawan ulung dan wira bangsa yang jasa dan budinya tidak ternilai kepada bangsa, agama dan negara.

Leave a Reply