News_archive

Tugasan luar pertama PM

By Wednesday April 8th, 2009 No Comments

Najib ketuai delegasi Sidang Kemuncak Asean ke-14 di Thailand KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak yang berkaitan di Pattaya, Thailand, Jumaat ini. Sidang kemuncak itu yang bertemakan ‘Bersama Berusaha Menangani Cabaran Global’ dijangka menjadi peristiwa penting dalam hubungan Asean dan Rakan Dialog, di samping memberi peluang kepada negara terbabit mengadakan perbincangan mengenai isu terkini serantau dan antarabangsa.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini, semalam, sidang kemuncak yang berkaitan meliputi Asean+1, Asean+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur. Turut menyertai sidang kemuncak berkenaan ialah Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan. Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pegawai kanan beberapa kementerian.

Kenyataan itu menyebut, Ketua-Ketua Negara Asean akan mengeluarkan empat kenyataan pada sidang kemuncak itu membabitkan kerjasama Asean Campur Tiga terhadap Jaminan Makanan dan Perkembangan Tenaga Bio; Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Pengurusan Bencana serta kenyataan bersama Sidang Kemuncak Keempat Asia Timur mengenai Krisis Ekonomi dan Kewangan Global. Selain itu, kenyataan bersama Asean Campur Tiga mengenai Kerjasama Menangani Krisis Ekonomi dan Kewangan Global. Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya termasuk dari Australia, Brunei, Kemboja, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand. – Bernama

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply