Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
TRANSKRIP UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN SEBAGAI PRESIDEN DAN PENGGULUNGAN - Najib Razak
News_archive

TRANSKRIP UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN SEBAGAI PRESIDEN DAN PENGGULUNGAN

By Saturday March 28th, 2009 No Comments

TRANSKRIP UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN SEBAGAI PRESIDEN DAN
PENGGULUNGAN OLEH
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PADA 28 MAC 2009
DI DEWAN MERDEKA, PWTC
———————————–

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap

Yang dikasihi, YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO yang ke-6

YABhg, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Ali

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden UMNO yang baru

Barisan Naib-Naib Presiden yang baru
YB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi
YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn
YB Dato’ Mohd Shafie Apdal

YBhg Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil
Ketua Pergerakan Wanita

YB Saudara Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda

YB Dato’ Rosnah
Ketua Pergerakan Puteri

Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lama dan baru
Sidang Perwakilan dan pemerhati yang saya hormati sekalian,

Alhamdulillah dengan izin Allah jua, maka Persidangan Agung pada kali ini yang amat bersejarah telah sampai ke penghujungnya. Saya ingin mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada semua sidang perwakilan yang telah menjalankan tugas dan kewajipan masing-masing.yang telah menyempurnakan persidangan yang amat bersejarah ini, dan lebih-lebih lagi yang telah memilih saf kepimpinan UMNO yang baru untuk meneruskan perjuangan kita.

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden. Saya amat menghargai ucapan beliau tadi yang telah memberi pengakuan bahawa YB Tan Sri Muhyiddin akan bersama-sama sebagai rakan setia membantu saya untuk memperkasakan lagi UMNO. Tan Sri Muhyiddin bukanlah seorang yang asing bagi saya; kami dah lama dalam Pemuda. Boleh bertegur sapa. Kalau saya kata, ‘Muhyiddin, you kena senyum lebih sikit’, dia tak terasa hati. Dan saya amat percaya bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menjadi seorang Timbalan Presiden yang baik.

Saya juga mengucap tahniah kepada Naib-Naib Presiden yang baru: Datuk Seri Zahid Hamidi, Naib Presiden yang juga tak asing bagi saya; pernah jadi setiausaha politik kepada saya. Saya juga mengucap tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn yang saya kenali sejak kecil lagi. Saya juga mengucap tahniah kepada Datuk Shafie Apdal. Kali pertama dari Sabah menang sebagai Naib Presiden. Keturunan Bajau Laut. Saya tak kata lanun, saya kata Bajau Laut.

Saya juga mengucap tahniah kepada Majlis Tertinggi, sebelum itu, tahniah kepada Ketua Wanita baru, Dato’ Seri Shahrizat, tahniah kepada saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda, kepada Dato’ Rosnah. Tak apa, tabah, Insya-Allah. Dan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru dipilih samada yang ada di atas, mahupun ada yang di bawah. Ada juga yang di bawah, dan ada juga yang di atas.

Saya juga terharu melihat pada sikap pemimpin-pemimpin UMNO, walaupun nasib tidak menyebelahi mereka, samada tak boleh bertanding ataupun tewas di gelanggang tapi tetap setia pada perjuangan. Saya memuji sikap Datuk Ali. Saya memuji sikap Tan Sri Muhammad Taib dan rakan-rakan lain yang telah bertanding samada dalam Majlis Tertinggi, mahupun dalam Wanita, Pemuda dan Puteri. Kalau kalah ataupun tak menang, bukan bererti bahawa perjuangan sudahpun tamat. Selagi parti kuat, selama itu kita boleh berjuang.

Saudara Saudari sekalian,

Persidangan pada kali ini amat penting kerana persidangan ini merupakan persidangan yang pertama selepas Pilihan Raya ke-12 yang lalu. Kita perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat. Sebab itulah sayalah di antara pemimpin yang pertama yang telah mengungkapkan ‘berubah sebelum diubah’ dan ‘berubah sebelum kita rebah’.

Saya tetap yakin bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang-orang Melayu. Mereka tidak menolak UMNO sebenarnya. Mereka mahu UMNO berubah. Dan sebab itulah saya mengucap terima kasih kepada sidang perwakilan yang telah memberikan kepada saya saf kepimpinan yang mampu, mampu bukan membawa perubahan, tetapi membuat perubahan yang besar kepada parti dan kerajaan. Saya telah menggariskan dalam ucapan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahawasanya bagilah saya dan safkanlah kepada saya, bariskan pada saya kepimpinan yang ampuh dan padu. Saya telah merayu kepada Sidang Perwakilan untuk memberi dan menekankan empat nilai yang amat penting; empat ciri yang amat penting dalam kepimpinan. Dan ini juga ada banyak persamaan dengan rukun perjuangan yang telah dihuraikan oleh YAB Pak Lah kita sebentar tadi. Saya telah menegaskan empat cirinya yakni bersetia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi. Insya-Allah empat ciri ini boleh dijadikan panduan kita, bukan saja panduan bagi pemimpin-pemimpin yang ada di atas tetapi sehinggalah ke peringkat akar umbi dalam struktur kepimpinan parti yang kita kasihi.

Saudara Saudari sekalian,

Dalam soal perubahan, maka saya telah memberi pengakuan bahawasanya persidangan akan datang akan merupakan persidangan khas untuk meminda perlembagaan kami. Di antara perkara yang kita akan pinda ialah untuk menjadikan proses pemilihan dalam UMNO ini lebih terbuka, lebih telus, dan lebih demokratik. Pada masa ini kepimpinan tertinggi UMNO ditentukan oleh hanya lebih kurang 2,600 ahli UMNO sahaja. Ahli-ahli UMNO yang bersidang dalam dewan ini mewakili lebih kurang 3 juta ahli UMNO. Banyak yang berpendapat bahawa bilangan 2,600 ini tidak mungkin mencerminkan kehendak dan aspirasi 3 juta ahli UMNO. Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini boleh bukan sahaja nama kita hafal, muka pun kita ingat, number telefon pun kita pun ada. Salam pun ada. Ada yang kata salam SK, ada yang kata salam SI. Oleh itu, kerana kita perlu sedar bahawa imej UMNO yang bersih itu, proses pemilihan UMNO yang bersih, UMNO yang berintegriti, adalah jaminan kelangsungan kuasa kita sebagai parti yang berdaulat. Selagi proses ini tercemar, selagi itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO. Oleh itu, bukan sahaja untuk menjamin perkara ini, tetapi untuk menjaga pemimpin-pemimpin kita juga. Bukan saya salahkan pemimpin. Kadang-kadang kita tak beri, kalah. Beri, salah. Pemimpin dalam keadaan sedemikian. Jadi kita mesti jaga juga, jangan kita korbankan pemimpin.

Oleh itu, masa akan datang, pemilihan UMNO akan dibuat serentak di 191 Bahagian UMNO. Dalam zaman teknologi moden ini kita boleh bina prasarananya. Biarlah 60,000 ahli UMNO memilih pemimpin-pemimpin UMNO masa depan. Biarlah kita benar-benar menjadi pemimpin akar-umbi. Pemimpin menjadi pemimpin atas nama suara rakyat dan suara ahli.

Oleh itu dengan persetujuan sidang perwakilan kita akan pinda perlembagaan. Perwakilan setuju? Setuju? Setuju? Terima kasih.

Perkara ini juga disebutkan oleh YAB Pak Lah dalam persidangan perasmiannya. Kami berdua ada pemikiran yang sama. Sudah sampai masanya perubahan ini dilakukan. Apa lagi yang harus kita ubah? Kuota untuk jawatan kita mesti ubah. Saya nak mula dengan jawatan Presiden parti. Saya tidak mahu diselindung di belakang kuota untuk menjadi Presiden UMNO. Pada masa sekarang nak jadi Presiden UMNO memerlukan pencalonan daripada 58 Bahagian. Tak mungkin boleh dapat 58 Bahagian. Tak mungkin. Untuk jadi calon Naib Presiden berapa? 20. Kalaulah kebetulan dapat 19 saja, melilau nak cari satu lagi tu. Melilau. Saya tak sebut menyelinap, melilau. Nak dapat satu lagi. Kalau tidak tak dapat bertanding. 19 tak cukup satu. Ini boleh menimbulkan pelbagai-bagai tuduhan, samada realiti atau persepsi. Oleh itu kuota kita akan kaji semula. Kita akan tentukan syarat kelayakan yang paling minima supaya jangan ada jokers yang nak bertanding. Tak boleh juga. Tapi janganlah sampai untuk jawatan Presiden 58 bahagian. Saya hanya rela jadi Presiden kalau ahli UMNO menyokong saya sebenarnya. Jadi perkara-perkara lain ki
ta akan semak dan sebuah jawatankuasa khas akan kita tubuhkan dan kita akan mengadakan perbincangan dengan Bahagian-Bahagian UMNO seluruh negara. Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada Bahagian, Majlis Tertinggi akan rumuskan, dan Majlis Tertinggi akan buat cadangan. Sebab persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah, jadi kita kena bersidang sekali lagi. Jadi baiklah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda perlembagaan UMNO supaya UMNO akan menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Mendengar pada perbahasan yang telah berlangsung, banyak yang berminat tentang konsep parti menguasai kerajaan. Saya fikir kalau kita sebut parti menguasai kerajaan, kita ada dua komponen. Apa dia? Parti dan Kerajaan. Saya nak masukkan satu lagi komponen. Apa dia? Rakyat, Parti dan Kerajaan. Sebab apa? Sebab tidak ada gunanya kita ada jawatan dalam parti kalau parti tidak berkuasa. Oleh itu parti mesti tahu aspirasi dan denyutan nadi rakyat. Betul tidak? Parti setelah tahu denyutan hati rakyat, maka parti terjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan. Apabila kerajaan yang dikuasai parti melaksanakan kehendak rakyat maka masa itu kita akan jadi parti yang gagah perkasa dan akan terus melangsungkan pemerintahan kita. Maknanya UMNO parti yang berkuasa. Jadi bila orang luar dengar parti menguasai kerajaan, kita tambah Rakyat, Parti, Kerajaan. Insya-Allah, inilah ramuan yang terbaik bagi kita untuk kita melangsungkan kuasa kita. Ini lima negeri dah kalah ni. Dapat satu balik, itu pun masih dipertikaikan. Bila lagi kita nak sedar? Dah sedar dah? Dah sedar. Jadi dah sedar, turunlah bawah, mesra dengan rakyat, berkhidmat pada rakyat. Bukan saya yang penting. Saya pernah dengar, orang kata ‘Maruah saya’. Sebenarnya bukan ‘maruah saya’, maruah parti. Itu yang mesti kita pertimbangkan.

Saudara Saudari sekalian,

Saya juga telah mengikuti perbincangan dalam persidangan ini dan banyak juga perkara-perkara yang telah dilontarkan. Wakil daripada Tawau minta supaya agenda Islam jangan ditinggalkan. Bukan ditinggalkan, sebaliknya kita akan membawa agenda mendaulatkan agama Islam ini, akan sentiasa ditingkatkan di semua sudut: rohani, ekonomi, sosial, mahupun budaya hidup. ‘Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya’. Jadi usaha UMNO untuk mengembangkan syiar Islam tidak akan pernah kunjung padam. Kita akan teruskan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam.

Saudara Saudari sekalian,

Wakil dari Bukit Mertajam mengingatkan kepada kita supaya usaha memartabatkan bangsa Melayu mesti diunggulkan. Agenda ini kita akan teruskan. Mobiliti sosial secara menegak telah berlaku dalam masyarakat kita, hanya dalam tempoh satu generasi sahaja. Hasilnya, anak-anak nelayan, anak-anak penoreh getah, anak-anak buruh, pesawah, peneroka telah diangkat martabat  dan telah dapat jawatan dan pekerjaan yang tinggi dalam tempoh masa satu generasi sahaja, hasil perjuangan UMNO. Insya-Allah perkara ini kita akan teruskan dengan usaha yang lebih gigih lagi termasuk memberi pertimbangan dan mengambil berat kepada pendidikan awal kanak-kanak, kerana inilah asas orang Melayu boleh bersaing di masa hadapan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Kita juga jangan lupa bahawa kita adalah ketua kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Apa yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin selama ini, atas permuafakatan kaum ini kita akan teruskan. Kita harap juga pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional akan faham juga, dalam kita menjaga perasaan mereka, mereka juga mesti menjaga perasaan orang-orang Melayu.

Saudara Saudari sekalian,

Fitnah adalah racun berbisa menghancur bangsa. YAB Pak Lah telah sebut beberapa kali tentang soal fitnah ni. Di akhir-akhir ini fitnah disembur dan dilempar merata-rata dengan niat penuh nista. Sesungguhnya fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Senario kini kepada yang berdiam tidak melatah dianggap sudah sah melakukan dosa. Kepada pemfitnah-pemfitnah yang bermaharajalela pula dianggap benar sebagai pejuang nusa. Ingatlah firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap yang batil. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap.”

Oleh itu janganlah keadilan itu adalah dua standard: satu untuk kerajaan dan satu untuk pembangkang. Jika mana-mana pembangkang dituduh, dibawa ke mahkamah, kata pembangkang hakim tidak adil, pendakwa menganiaya, polis pun tidak betul. Namun jika mana-mana tokoh kerajaan, baru sahaja dituduh, belum apa-apa sudah dianggap bersalah oleh mereka. Bukti yang tidak ada dicipta-ciptakan, gambar yang tidak ada diwujud-wujudkan. Malah saksi yang tidak betul diupah-upahkan. Justeru itu, jika beginilah tafsiran keadilan dari kacamata pembangkang, maka ia adalah lebih buruk dari undang-undang rimba. Tiada siapa yang akan selamat dari undang-undang sebegini; penuh kelicikan, penuh pembohongan yang dahsyat, gobrok, kosong dan melompong.

Yang peliknya, ada orang itu suatu ketika pernah duduk dalam kerajaan. Tapi kini bila sudah menjadi pembangkang, tiba-tiba dianggap bersih seperti malaikat, putih bersih seperti bayi yang baru lahir. Hakikatnya saya dan kita semua tahu siapa dia sebenarnya.

Saudara Saudari sekalian,

Persidangan kita pada kali ini merupakan satu persidangan yang bukan sahaja bersejarah tetapi merupakan satu persidangan yang menyayat hati kerana kita mengucapkan selamat tinggal kepada Presiden parti kita, selama lima tahun menjadi Presiden parti. Ramai yang tidak tahu bahawa YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dan saya mempunyai hubungan yang telah terjalin sekian lama bermula dari zaman Allahyarham Ayahanda saya lagi. Saya berasa amat terharu sebenarnya kerana YAB Pak Lah telah memberi laluan yag mudah pada saya untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan. Saya tahu bukan senang untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Nak lepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian pun susah. Nak lepaskan jawatan Ketua Cawangan pun susah. Inikan jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan. Dan YAB Pak Lah membuat keputusan ini dengan cara yang begitu baik sekali di mana YAB Pak Lah telah berunding dengan saya banyak kali. Dan setiap kali berunding itu berjam lamanya. Orang tidak tahu perkara ini, saya pun tak pernah bercakap tentang perkara ini. Saya amat terharu kerana YAB Pak Lah membuat proses itu sebagai satu yang amat mesra dan penuh dengan perasaan kemanusiaan dan personal sifatnya. Sehingga YAB Pak Lah, sebelum saya datang, dia boleh berbincang dengan Datin Seri Jeanne, ‘agak-agaknya Najib ni suka makan apa malam ni”. Dan saya kira Pak Lah pun tahu apa yang saya suka dan biasanya apa yang saya suka itulah yang dihidangkan. Sebab itulah apabila peralihan kuasa ini berlaku, ia berlaku dalam keadaan yang amat tersusun dan amat tertib dan penuh dengan harmoni. Tradisi UMNO telah kembali semula. Tradisi yang kita pertahankan sekian lama sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Sebelum ini apabila Tun Mahathir serah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun dalam keadaan suasana dalam Perhimpunan Agung dan kini, bila Pak Lah serah pada saya pun dalam keadaan dalam Perhimpunan Agung. Penuh dengan ketertiban, dengan tradisis dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah mengungkapkan satu rahsia peribadi sewaktu Pemuda UMNO membuat Seminar Tun Razak. Saya menzahirkan satu rahsia peribadi dan saya nak ulang balik dalam Persidangan ini bahawa YAB Pak Lah pernah sebut pada saya. Dia cakap dengan saya dalam Bahasa Inggeris. Dia kata berkenaan dengan Allahyarham Tun Razak. Kata Pak Lah: “You are his biological son, and I am his political son.” Pak Lah pernah menyebut pada saya bahawa saya adalah anak kandung Tun Razak dan dia adalah anak didik politik Allahyarham Tun Razak.

Dan YAB Pak Lah dalam perbincangan ini telah menyatakan pada saya tiga perkara yang saya ingat dan saya nak kongsi pada sidang perwakilan. Yang pertama Pak Lah kata kat saya “I want to see you succeed”. Pak Lah kata dia nak lihat saya berjaya, dia kata. Jadi Pak Lah kata buatlah yan
g terbaik, dia akan sokong. Kedua, dia kata, “saya tidak akan kritik”. “I will not criticise you in public”. Dan ketiga, “saya sanggup memberi nasihat dan pandangan saya pada bila-bila masa”. Pak Lah, saya amat menghargai, amat amat menghargai apa yang telah dinyatakan secara peribadi kepada saya dan saya akan kenang sampai bila-bila Kakanda saya dalam politik. Pak Lah terpahat dalam hati saya.

Saya juga berasa begitu bangga pada hari ini bahawa seorang lagi negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada dalam persidangan. Saya nak cuba tafsir kehadiran dia, tapi saya percaya dalam apa jua, dalam hati kecil beliau, dalam darah beliau ialah darah UMNO. Saya ada satu harapan; harapan saya ialah untuk saya bersama-sama dengan dua negarawan ini, Datuk Seri Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama berbincang tentang masalah dan masa depan parti dan negara. Walaupun mungkin pertemuan pertama mungkin kekok sikit agaknya, tapi lama-kelamaan kemesraan akan terjalin, Insya-Allah. Yang penting bukan perasaan diri, yang penting ialah masa depan UMNO dan negara kita. Insya-Allah kalau pemimpin seperti negarawan tunjuk teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan. Yang bawah ini akan ikut bersama. Yang bawah ini akan terus mendapat inspirasi daripada isyarat negarawan-negarawan kita. Insya-Allah kita akan menhadapi banyak cabaran, tapi kalau pemimpin-pemimpin negarawan-negarawan kita bersama-sama mendokong perjuangan kita, bersama-sama melahirkan ideanya, bersama-sama tidak mengkritik secara terbuka, tapi berfikir secara baik, secara dalaman. Kerana parti inilah pernah berjasa pada kita, parti ini telah berjasa kepada ahli UMNO, parti ini juga telah berjasa pada negarawan-negarawan kita. Sudah sampai masanya bila kita jadi pemimpin, ahli-ahli setia kepada kita. Bila kita sudah bersara, kita pertahankan parti yang pernah berjasa kepada kita. Inilah prinsip yang saya pegang dan saya percaya kita boleh menjadikan perkara ini sebagai satu kenyataan. Ini kehendak para perwakilan UMNO.

Kepada para perwakilan, semboyan telahpun dibunyikan, bingkaslah bangun, tawankan hati rakyat. Kibarkan panji-panji perjuangan UMNO membela demi untung nasib rakyat Malaysia insya-Allah. Teruskan perjuangan kita, UMNO akan diperkasakan, UMNO akan didaulatkan. Insya-Allah perjuangan kita akan berjaya.

Terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply