News_archive

Transformasi jayakan warga Felda

By Tuesday May 26th, 2009 No Comments

Pembangunan R&D mampu lonjak kekayaan peneroka: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu warga Felda melakukan transformasi besar bagi memacu organisasi itu ke arah pembentukan budaya yang lebih cemerlang serta melonjakkan lagi kekayaan mereka pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, antara aspek yang perlu diberi penekanan Felda ialah dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), amalan baik dari segi ekonomi dan pemasaran serta proses perniagaan.

“Semuanya mesti menjurus usaha melonjakkan kekayaan pendapatan jauh lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bersama warga Felda di Dewan Perdana Felda di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Noor.

Najib berkata, transformasi besar itu dengan matlamat utama untuk menjana pendapatan lebih tinggi seluruh masyarakat Felda, perlu dicapai dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Saya ajak bukan untuk membuat perubahan atau penambahbaikan tapi transformasi besar untuk menentukan masa depan jauh lebih baik. Oleh itu, saya harap kita beri tumpuan kepada proses transformasi ini,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan slogan ‘Felda: Felda Hanya 1 di Dunia’ yang mencerminkan simbol kejayaan Felda sebagai agensi pembangunan tanah terunggul di dunia.

Selain itu, Najib juga melancarkan ‘Felda Rally Team’ dengan matlamat ke arah pembentukan bakat Malaysia glokal dan bertaraf antarabangsa dalam bidang pengurusan projek sukan serta mencungkil bakat profesional dalam bidang sukan rali.

Perdana Menteri berkata, Felda sehingga kini dapat mempertahankan kedudukannya sebagai organisasi pembangunan tanah terunggul di dunia dan transformasi yang dimaksudkan itu boleh meninggalkan kesan amat besar kepada masyarakat Felda.

Najib berharap proses transformasi ini dapat mencetuskan budaya baru pada masyarakat Felda yang sentiasa peka kepada disiplin, amalan cara hidup baik seperti kebersihan, sifar masalah sosial, hidup aman dan taat pada agama, yang semuanya menjurus kepada masyarakat contoh.

Katanya, gagasan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkannya boleh dilaksanakan dalam usaha membawa transformasi besar kepada Felda.

Najib berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah RM187.6 juta untuk faedah 28,787 warga Felda dalam pelbagai peringkat pendidikan dari 2005 hingga kini.

Sementara itu, pada sidang media, Najib berkata, Felda turut memberi penekanan kepada program perumahan untuk generasi kedua Felda dan kini terdapat enam projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Enam projek itu ialah di Jengka 19, Jengka 11, Triang 3, Chiku 5, Neram 1 dan Chini 3.

Katanya, dalam pakej rangsangan ekonomi kedua, kerajaan meluluskan RM100 juta untuk Felda menambahkan lagi bilangan projek perumahan kerana permintaan semakin meningkat di kalangan generasi kedua Felda.

Katanya, selain menjana pendapatan daripada tanaman kelapa sawit, peneroka dan warga Felda juga terbabit dalam pelbagai program ke arah meningkatkan sumber pendapatan.

Antaranya, program tanaman hijau diperkenalkan tahun ini serta program keusahawanan yang kini membabitkan 35,000 warga Felda.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply