News_archive

TPM Singapura Lawat Malaysia Selasa Rapatkan Lagi Hubungan Dua Hala

By Monday July 4th, 2011 No Comments

SINGAPURA, 4 Julai (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai Selasa, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Semasa lawatan itu, Teo yang juga Menteri Penyelarasan untuk Keselamatan Negara serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri akan mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Teo juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Lawatan itu akan membolehkan Teo memperbaharui dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan rakan sejawatanya dan membincangkan perkara-perkara kepentingan bersama termasuk keganasan dan jenayah rentas nasional.

“Ia akan juga akan memberikan peluang kepada Teo untuk mengetahui sendiri mengenai keadaan keselamatan di Malaysia,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.

Ini merupakan lawatan Teo yang pertama ke Malaysia sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Semasa lawatan itu, beliau akan bertemu dengan antara lain pemimpin perniagaan kanan serta juga Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian Malaysia.

Pertemuan ini akan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan dan pelaburan yang kukuh antara Singapura dan Malaysia.

Teo akan diiringi oleh Pesuruhjaya Polis Ng Joo Hee dan para pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply