BlogFeatured Articles

TN50: Isu Sosioekonomi Penduduk Bandar

By Wednesday October 4th, 2017 No Comments

Dalam usaha kita mencapai cita Malaysia sebagai antara 20 negara terbaik di dunia menjelang TN50, saya sering menyatakan bahawa ia perlu bermula dari bawah, kerana TN50 dibentuk sebagai visi yang berlandaskan suara hati rakyat, mengutamakan rakyat dan dijayakan melalui usaha sama dengan rakyat.

Oleh sebab itu, saya sering mengadakan sesi dialog dan perbincangan meja bulat bersama rakyat serta pakar dari pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sains dan banyak lagi.

Petang semalam adalah sesi kelima perbincangan meja bulat atau Economic Roundtable ini, kali ini tertumpu kepada isu-isu semasa dan sosioekonomi penduduk di bandar.

Hadir bersama adalah wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dan juga social enterprise daripada pelbagai latar belakang berbeza, dan suka saya kongsikan perbincangan dan cadangan-cadangan yang telah mereka utarakan.

Dato’ Megat Ahmad Shahrani, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia atau NASOM, yang menyatakan bahawa sejak persatuan ini ditubuhkan pada 1987, ia telah membantu ramai anak-anak autisme mendapatkan terapi dan juga pendidikan di peringkat awal, satu usaha murni yang cukup baik.

Beliau mencadangkan supaya lebih banyak bantuan diberikan demi memudahkan dan meringankan beban ibu bapa dengan anak autisme, terutamanya dari kalangan B40 untuk menerima rawatan.

Pendapat beliau disokong juga oleh Puan Majidah Hashim, CEO SevenTeaOne, sebuah “social enterprise” di mana golongan dewasa menghidap autisme diajar untuk berdikari dan bekerja bagi menjana pendapatan sendiri.

Puan Majidah juga mencadangkan supaya satu mekanisme diwujudkan bagi membolehkan “social enterprise” di peringkat “startup” terutamanya berkembang maju dan mampu menjana pendapatan sendiri.

Pada amatan saya, yang menjadi halangan kepada rawatan autisme, terutamanya di peringkat awal adalah kesedaran dan mentaliti masyarakat terhadap penyakit itu sendiri.

Selain itu, Encik Zulkiflee Zamri, pengasas Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia pula berkongsi usaha mereka membantu golongan terpinggir seperti penagih dadah, gelandangan, pekerja seks dan ramai lagi agar kembali ke pangkal jalan.

Beliau mencadangkan agar lebih banyak “drop-in centres” diwujudkan dan program “outreach” dijalankan supaya program akan lebih berkesan dan memberi impak kepada lebih ramai yang memerlukan.

Puan Joycelyn Lee pula merupakan pengasas bersama Pit Stop Community Café, menyediakan makanan dan bantuan dalam bentuk soup kitchen kepada golongan gelandangan. Beliau memuji inisiatif MaGiC dan mencadangkan supaya mungkin boleh diadakan sebuah one-stop centre bagi social enterprises mendapatkan maklumat dan bantuan dalam mengendalikan pengurusan mereka.

Datuk Melati Ali, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan pula mencadangkan agar penyelarasan bantuan kepada ibu tunggal di bawah sebuah jabatan khas diwujudkan agar bantuan secara lebih konsisten dan teratur dapat disalurkan kepada mereka.

Saya juga suka kongsikan inisiatif berkaitan pembendungan pembaziran makanan oleh FoodNinja dan juga Food Aid Malaysia. Saban hari rakyat Malaysia membazirkan makanan, dan FoodNinja serta Food Aid Malaysia berusaha menyelamatkan makanan ini daripada dibuang begitu sahaja dengan menyalurkan ia kepada golongan miskin selain dijadikan sebagai benih dan banyak lagi.

Encik Yong dari FoodNinja mencadangkan supaya pengawal seliaan dikuatkuasakan bagi mengelakkan pembaziran makanan terutamanya di pasaraya besar dan premis-premis mewah, manakala Puan Norhayati Ismail dari Food Aid Foundation pula memberi pandangan bahawa patut ditubuhkan sebuah Food Bank Centre di setiap negeri di Malaysia yang boleh membantu menyalurkan makanan-makanan ini serta mengelakkan daripada pembaziran terjadi.

Selain cadangan yang telah saya nyatakan di atas, terdapat juga cadangan lain seperti pengurusan pendidikan kanak-kanak stateless atau tanpa kewarganegaraan daripada Dr Hartini Zainuddin, pengasas Yayasan Chow Kit, menyediakan lebih banyak Anjung Kasih buat ahli keluarga yang melawat pesakit di hospital oleh Puan Nordina Haron dari Yayasan Kebajikan Negara, meningkatkan kesedaran mengenai penyakit Endometriosis yang menjejaskan wanita berumur antara 14 hingga 49 tahun oleh Puan Surita Mogan, presiden MyEndosis; serta banyak lagi.

Akhir sekali, saya nyatakan inisiatif dan usaha murni yang dilakukan oleh mereka yang hadir pada sesi kali ini, yang begitu prihatin membantu rakyat yang kurang bernasib baik dan melakukannya dengan ikhlas, adalah satu sebab mengapa Malaysia terus makmur dan berjaya hari ini.

Saya amat menghargai perkongsian dan cadangan yang telah diberikan oleh kesemua yang hadir dan Insya-Allah, setiap satu daripadanya akan diteliti dan diperhalusi untuk kebaikan rakyat dan negara Malaysia menjelang TN50 nanti.

Leave a Reply