News_archive

Tinjauan Mesra Najib Ceriakan Penduduk Taman Mawar Dan Bandar Kim Fung

By Saturday April 21st, 2012 No Comments

SANDAKAN, 21 April (Bernama) — Tinjauan mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih dua jam ke Pasar Taman Mawar dan Bandar Kim Fung pagi Sabtu begitu menceriakan masyarakat kedua-dua lokasi tumpuan awam di Sandakan itu, termasuk golongan peniaga dan pelanggan.

Rakyat pelbagai kaum, tua, muda dan kanak-kanak berpusu-pusu ingin bersalaman dengan Najib sebaik sahaja Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman tiba bagi meneruskan program tinjauan mesra di situ.

Malah ada peniaga yang meninggalkan gerai atau premis perniagaan mereka semata-mata untuk bergambar bersama Najib kerana bagi mereka peluang untuk berjumpa atau bersemuka dengan pemimpin negara yang begitu sibuk dengan tugas harian bukan sesuatu yang lumrah.

“Inilah kali pertama berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Beliaulah juga Perdana Menteri pertama Malaysia yang melawat pasar ini. Saya memang amat gembira dapat berjumpa dengan Perdana Menteri. Malah dia (Najib tidak hampakan permintaan saya untuk bergambar dengannya.

“PM kata ‘saya beri dua minit, cepat-cepat ambil gambar’, sayapun terus ambil gambar. Saya akan besarkan gambar saya dengan Perdana Menteri dan menggantungkannya di kedai saya ni,” kata seorang peniaga Wong Yuen Fah kepada Bernama di sini hari ini.

Wong, 41, berharap Najib akan terus berusaha membangunkan rakyat di manapun mereka berada kerana berpendapat yang penting bagi rakyat ialah negara membangun, rakyat mudah mencari rezeki, tidak hidup menderita dan ini boleh dilakukan jika semua pihak mencontohi sikap dan kerja keras Najib.

Peniaga kuih cakui dan campiang, Tung Chan Wun, 56, juga tidak dapat menahan kegembiraannya dengan wajahnya yang sentiasa riang apabila Najib yang melalui gerainya tidak semena-mena singgah dan memerhatikan dia mencanai tepung cakui dan kuih campiang.

“Dia tanya saya bagaimana cara canai tepung supaya cakui kembang bila digoreng. Dia juga tolong saya goreng kuih cakui. Saya cukup gembira kerana inilah pertama kali saya bersemuka dengan dia. Dia orang bagus, dia mahu singgah di gerai saya,” kata Tung yang sudah berniaga di Pasar Kim Fung sejak 27 tahun lalu.

Ketika Najib duduk bersama beberapa warga emas di gerai makan di Pasar Kim Fung pula, Liew Min Shiong, 77, dan Ngo Nyuk Han, 74, sempat meluahkan rasa hati mereka yang belum menerima bantuan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah sejak tiga bulan lalu.

“Ramai di kalangan kami belum mendapat bantuan RM300 sejak bulan November tahun lalu. Saya harap masalah ini dapat diatasi,” kata Liew yang mengakui begitu gembira bertemu Najib serta kegembiraannya menerima RM500 melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Seorang lagi warga tua, Yong Ban Yang, 83, pula berkata dia pernah terlewat menerima bantuan selama setahun dan sudah membuat aduan namun sehingga ke hari ini belum mendapat bantuan RM300 itu daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajkan Am Sabah.

Ketika di Pasar Taman Mawar, seorang warga emas, Cho Kiew Moi, 80, yang berpeluang duduk bersebelahan dengan Najib ketika bersarapan pagi amat gembira kerana memperoleh kesempatan bersarapan dengan pemimpin berjiwa rakyat nombor satu negara itu.

Cho menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin rakyat kerana rajin turun padang berjumpa rakyat dan meluangkan masa bersama mereka tidak kira di mana.

“Beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat kerana sanggup turun berjumpa rakyat di mana sahaja rakyat berada. Saya beruntung dapat berjumpa dan bersarapan bersama Perdana Menteri,” katanya.

Seorang lagi penjaja, Ng Siu Ha, 62, berkata dia tidak menyangka Najib sanggup turun ke pasar dan berjumpa dengan mereka yang menjalankan perniagaan di pasar tersebut.

Menurutnya peluang berjumpa dan bersalaman dengan Najib hari ini merupakan satu detik bersejarah dalam dirinya kerana dapat berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara itu.

“Biarpun Najib hanya meluangkan masa tidak lama di pasar tetapi kesempatan dapat berjumpa dengan Perdana Menteri itu sudah tentu menjadi peristiwa penting kepada pasar dan penjaja,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply