News_archive

Tingkat perdagangan dua hala

By Sunday June 19th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA 19 Jun – Keperluan untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Zimbabwe, Swaziland dan Uganda menjadi agenda utama mesyuarat dua hala dengan ketua-ketua negara terbabit, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ini kerana pihak beliau mendapati wujudnya penurunan dalam perdagangan dua hala dengan negara terbabit.

‘‘Secara umumnya kita berbincang mengenai perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat. Terdapat penurunan dan kami akan cuba memulihkan hubungan perdagangan dua hala itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas ditanya mengenai isu yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala di luar forum Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 di sini hari ini.

Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe; Perdana Menteri Swaziland, Barnabas Sibusiso Dlamini dan Naib Presiden Uganda, Edward Sekandi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, dalam perbincangan yang sama, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan cuba menggalakkan syarikat Malaysia untuk melabur di negara yang menyertai LID.

“Bagaimanapun ini banyak bergantung kepada iklim politik dan perniagaan di negara terbabit dan bagi Zimbabwe sendiri, Mugabe menegaskan ia adalah suatu perkara yang berupa persepsi.

‘‘Zimbabwe perlu berbuat lebih banyak untuk meredakan kebimbangan pelabur Malaysia walaupun kita dimaklumkan ada negara ASEAN yang dikatakan sedang mengenal pasti peluang pelaburan di negara itu,” katanya.

Ditanya mengenai syarikat yang dikatakan telah melakukan kajian kemungkinan untuk melabur di Tanzania tetapi tidak meneruskan projek itu, Najib berkata, kerajaan tidak boleh memaksa syarikat swasta untuk mengambil perniagaan.

‘‘Banyak kajian tidak bertukar menjadi pilihan perniagaan dan cadangan. Mungkin, projek itu tidak berdaya maju, ia boleh mempunyai masalah yang berhubungan dengan tanah (pengambilan) atau syarikat menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply