Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Tindakan Golongan Tertentu Cermin Kebimbangan Untuk Serah Nasib Ditentukan Rakyat: Najib - Najib Razak
News_archive

Tindakan Golongan Tertentu Cermin Kebimbangan Untuk Serah Nasib Ditentukan Rakyat: Najib

By Monday April 30th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) — Tindakan golongan tertentu yang menimbulkan keraguan terhadap sifat adil dan berkecuali institusi di bawah Perlembagaan sejak mutakhir ini mencerminkan kebimbangan dan ketakutan mereka untuk menyerahkan nasib bagi ditentukan rakyat apabila tiba masanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menyedari mereka tidak mendapat sokongan rakyat, golongan terbabit cuba menimbulkan keraguan terhadap wibawa institusi berkenaan tetapi pada masa sama tidak pula menimbulkan bahawa mereka juga mendapat kejayaan di bawah kerangka selia institusi terbabit.

“Bahayanya tindakan ini ialah apabila wibawa institusi ini diragui, maka jika mereka berjaya mencapai matlamat politik yang diimpikan, kejayaan mereka juga bakal dipersoalkan dan diragui.

“Jangan pihak pembangkang hanya berani berselindung di sebalik anarki melalui keganasan gerombolan jalanan. Beranilah untuk bersaing di gelanggang demokrasi, pasaran idea dan agenda masa depan negara secara adil, bebas dan kompetitif,” katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di sini Isnin.

Beliau berkata bersedialah untuk diteliti dan dihakimi rakyat Malaysia, berdasarkan wawasan, idea, dasar, program dan rekod pencapaian yang ada.

“Janganlah kerana singkat fikiran, kita mengikut hawa nafsu dan sanggup mengorbankan masa depan negara dan warganya. Jangan sekali-kali menjadi perosak kepada masa depan anak-anak Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia diiktiraf negara yang berjaya kerana rakyatnya mempunyai taraf dan kualiti kehidupan yang amat baik selain keupayaan mengekalkan keamanan dan kestabilan politik.

Katanya sejak negara merdeka, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan terus menjadi teras utama pemerintahan yang berpandukan kepada falsafah persekutuan, prinsip ketertinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang mana kehendak rakyat dicerminkan menerusi peti undi.

“Ini berjaya dicapai kerana perancangan rapi dan pelaksanaan berkesan oleh kerajaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata sebarang pembaharuan dan perubahan di negara ini perlu terus berlaku secara tertib dan aman walau parti atau gabungan parti mana yang diamanahkan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply