News_archive

Tiada Tekanan Tentukan Bila Pilihan Raya Umum Ke-13, Kata PM

By Thursday June 30th, 2011 No Comments

SIPITANG (Sabah), 30 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rancangan pihak tertentu mahu mengadakan perhimpunan haram kononnya bagi menuntut pilihan raya secara bersih tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk memikirkan bila pilihan raya umum bakal diadakan.

“(Persoalan) pilihan raya, bila akan diadakan tidak tertakluk kepada (tuntutan penganjur perhimpunan) Bersih,” katanya pada sidang akhbar selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke pekan paling selatan di Sabah pada Khamis.

Perdana Menteri berkata sebenarnya perhimpunan itu bermotif politik dan tuntutan itu boleh diselesaikan tanpa mengheret rakyat untuk menyertai demonstrasi jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Katanya tuntutan yang dikemukakan sepatutnya boleh dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penganjur perhimpunan haram 9 Julai, antara lain menyenaraikan tuntutan pembersihan senarai undi, mereformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal dan pengukuhan institusi awam.

Perdana Menteri berkata usaha untuk memperkenalkan sistem biometrik sedang dilakukan bagi menolak dakwaan tentang kewujudan pengundi hantu sementara rakyat perlu diberikan penjelasan sepenuhnya tentang proses undi pos yang sebenarnya turut disaksikan sendiri oleh wakil-wakil daripada parti pembangkang.

Najib menyifatkan rancangan mengadakan perhimpunan haram itu sebenarnya bertujuan mengalih tumpuan rakyat terutama momentum sokongan rakyat terhadap usaha transformasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Mereka melihat satu dua hari ini momentum (sokongan) semakin meningkat kepada Barisan Nasional. Mereka nak buat (seolah-olah) Barisan Nasional kurang mendapat sokongan rakyat dengan menuduh kita sebagai kerajaan zalim dan kuku besi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap kumpulan penganjur perhimpunan ini yang berdiam diri apabila pembangkang berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil dan menawan empat buah negeri dalam pilihan raya umum ke-12 sebelum ini.

Katanya kerajaan telah diberi mandat oleh rakyat untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman di negara ini terjamin dan mengambil sebarang tindakan perlu untuk mengekang sebarang kegiatan yang boleh membawa kepada keadaan huru-hara.

Najib berkata tindakan mengadakan demonstrasi jalanan ini merupakan ‘psikologi rusuhan’ yang bertujuan merangsang pengikutnya bertindak ganas dan tindakan ini tidak boleh dibenarkan berlaku di negara ini.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana sekiranya dibenarkan, ia sukar dikawal dan menjejaskan rakyat,” katanya, dan menambah kata bahawa sebarang keputusan sama ada untuk menguatkuasakan undang-undang darurat bagi mengekang kegiatan ini terserah kepada budi-bicara polis.

Katanya sebarang tindakan yang diambil terhadap kumpulan ini akan dilakukan dengan mengutamakan kepentingan dan ketenteraman rakyat.

Menyentuh pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Sabah semalam, Najib berkata mereka diarahkan untuk meneruskan usaha-usaha yang dapat mengukuhkan lagi kekuatan Barisan Nasional di negeri ini.

Mereka juga diminta untuk sentiasa mendampingi rakyat dalam menjalankan usaha-usaha ini sebarang keputusan yang dibuat, ia perlu memihak kepada rakyat, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply