News_archive

Tiada Siapa Terlepas Daripada Tindakan Termasuk Penyokong Kerajaan – PM

By Saturday July 9th, 2011 No Comments

KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) — Tanpa mengira individu berkenaan menentang atau menyokong kerajaan, mereka yang melanggar undang-undang negara tidak akan terlepas daripada tindakan tegas pihak polis, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana polis bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara daripada pelbagai anasir yang boleh mencetuskan huru-hara dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

Beliau berkata kerajaan mencadangkan pihak berkenaan mengadakan perhimpunan di stadium, di mana mereka boleh berhimpun dan membuat ucapan dengan aman serta mengemukakan tuntutan mereka.

“Itu tawaran sangat baik yang disediakan oleh kerajaan. (Sekarang) kalau ada tindakan dia kena hadapilah sama ada dia sokong kerajaan atau menentang kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri di sini, Sabtu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan beberapa pemimpin kanan parti pembangkang serta Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang mengetuai perhimpunan kumpulan Patriot di Jalan Bukit Bintang, serta Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Antara yang ditahan ialah penganjur perhimpunan haram Datuk S. Ambiga dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presidennya Mohamad Sabu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh dan Tian Chua, dua Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Perdana Menteri berharap mereka yang terlibat sedar bahawa rakyat tidak suka dengan demonstrasi jalanan kerana lebih banyak cara lain boleh digunakan untuk menyuarakan hasrat mereka.

Tidak menafikan isu penahanan itu akan digunakan pembangkang untuk mengaitkannya dengan keganasan polis, beliau berkata: “Kita dah jangka ia akan digunakan sebagai satu isu sebab itu mereka nak lakukan konfrontasi dengan polis kerana mereka nak timbulkan isu kononnya polis kita kejam dan zalim.”

Pihak media tertentu khususnya media pembangkang pula akan mengambil kesempatan untuk memperbesar-besarkan isu penahanan serta perhimpunan haram itu untuk menunjukkan ramai yang mengambil bahagian sedangkan hakikatnya bilangan yang terlibat tidak sampai 10,000 orang, katanya.

Mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas palsu menyatakan Parlimen akan dibubarkan pada Isnin ini kononnya dikeluarkan agensi berita Bernama, Najib berkata ia adalah perbuatan yang sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat.

“Ini taktik biasa yang berlaku dalam keadaan seperti ini dan masa pilihan raya, rakyat perlu faham khabar angin seperti ini dalam bentuk SMS adalah khabar angin tidak berasas termasuk melalui e-mel atau laman sesawang sosial,” katanya.

Bernama hari ini menafikan mengeluarkan teks pesanan kononnya mengenai pembubaran Parlimen pada Isnin ini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply