News_archive

Tiada Had Umur Asalkan Calon Boleh Menang, Kata Najib

By Thursday November 10th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) — Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan had umur dan juga tanpa mengira berapa kali menjadi wakil rakyat bagi calonnya pada pilihan raya umum ke-13 asalkan calon berkenaan boleh menang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui pilihan raya umum akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata apa yang penting ialah individu berkenaan adalah calon terbaik untuk Barisan Nasional (BN).

“Calon boleh menang ini boleh merangkumi semua, tidak kira muda atau tua, tidak ada had umur, tidak ada had berapa kali menjadi wakil rakyat. Kesimpulannya, calon boleh menang.

“Tidak kira umur, tidak kira berapa kali jadi wakil rakyat, tidak kira jika orang kata kitar semula, yang penting sekali ialah calon boleh menang, sebab kita nak BN menang dengan cemerlang dalam pilihan raya umum nanti,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Seri Perdana di sini, Khamis.

Turut hadir Presiden Mubarak Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dan Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Sumber : Bernama

Leave a Reply