News_archive

Tiada dana khusus generasi kedua Felda miliki rumah

By Sunday June 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 15 Jun – Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menyediakan dana khusus untuk generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memiliki rumah sendiri setelah mendapat lot tapak rumah di dalam kawasan tanah rancangan itu.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, kerajaan memberikan subsidi kepada pembeli yang benar-benar layak melalui Projek Perumahan Warga Felda (PWF) berdasarkan kaedah pinjaman bank dan sewa beli bagi yang tidak mendapat pembiayaan.

Menurut beliau, dana tidak disediakan kerana kerajaan terpaksa menanggung subsidi infrastruktur tinggi dalam pembinaan rumah ini yang menelan kos antara RM50,000 dan RM60,000 bagi seunit.

“Sebaliknya, rumah tiga bilik berukuran 6.6 meter x 18 meter dijual dengan harga hanya RM35,000 seunit manakala kos subsidi infrastruktur seperti perparitan, kemudahan asas, jalan dan tiang elektrik dianggarkan antara RM15,000 dan RM20,000 bergantung kepada kedudukan kawasan dan topografi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN – Sekijang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan generasi baru Felda mampu memiliki rumah tersebut, pinjaman menerusi bank-bank tempatan turut disediakan.

Sementara itu, katanya, untuk pembeli yang tidak mendapat pembiayaan bank, Felda turut menyediakan peluang kepada generasi barunya memiliki rumah yang sama melalui skim sewa beli.

“Melalui skim ini, generasi Felda membayar sewa bulanan yang minimum tanpa dikenakan faedah, apabila cukup tempoh masa, pembeli akan memiliki rumah tersebut,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply