News_archive

Thaipusam disambut meriah

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Jutaan penganut agama Hindu di Malaysia hari ini menyambut perayaan Thaipusam dengan mengunjungi beberapa kuil di seluruh negara bagi menghormati hari kelahiran Dewa Murugan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersama penganut Hindu yang meraikan perayaan tersebut dengan meluangkan masa memberikan ucapan ringkas kepada lebih 1.3 juta penganut dan pengunjung yang membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini.

Walaupun cuaca panas terik, ia tidak menghalang kira-kira 2,000 penganut membawa palkudam (belanga susu) dan lebih 1,000 yang membayar nazar dengan membawa kavadi, selain memecahkan kelapa serta mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Lalu lintas serta keadaan sekitar juga dilihat terkawal dengan kehadiran 1,200 anggota polis dan juga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Sehingga tengah hari tadi, laluan ke Batu Caves bergerak lancar kecuali di Lebuhraya Lingkaran Kedua (MRR2) yang sesak terutamanya pada awal pagi.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kemeriahan sambutan Thaipusam di Batu Caves turut dirasai ratusan pelancong asing yang begitu teruja untuk turut sama menaiki 272 anak tangga kuil berkenaan.

Seorang pelancong dari Perth, Australia, Daniela Kelly, 34, berkata, walaupun beliau telah melawat Malaysia dua kali, beliau tidak pernah melihat sambutan perayaan yang unik itu menghimpunkan bilangan pengunjung yang ramai pada satu masa.

“Ia sangat berwarna-warni dan sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang menyaksikan sambutan ini sekali lagi pada tahun depan,” katanya.

Cho Sung Wook, 36, dari Korea Selatan sangat kagum dengan sambutan perayaan itu dan ia adalah suatu pengalaman yang akan dikongsi bersama rakan-rakannya apabila beliau kembali ke negaranya.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil Thai (berlaku dalam bulan Jan atau Feb).

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Kejayaan Murugan dalam mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan orang ramai telah menjadi satu peristiwa untuk penganut agama Hindu merayakan Thaipusam.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply