News_archive

Thailand Ulangi Pendirian Pendekatan Aman Di Selatan Thailand

By Sunday June 7th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) — Thailand mengulangi pendiriannya yang mengambil pendekatan aman dan perdamaian dalam menyelesaikan masalah yang menyelubungi penduduk di selatan Thailand.

Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Malaysia berkata kerajaan Thailand memberikan “banyak penekanan terhadap pembangunan dan penyertaan penduduk setempat” dalam menyelesaikan isu di wilayah-wilayah di selatan Thailand.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia bagi kerjasama rapat dan sokongan padu dalam soal ini, daripada segi aspek keselamatan dan sosio-ekonomi. Kami juga membincangkan bagaimana untuk meneruskan kerjasama ini di bawah konsep tiga E iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan, dengan beberapa idea baru,” katanya.

Abhisit berkata demikian pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini selepas mesyuarat dua hala dengan Najib.

Perdana Menteri Thailand itu juga berterima kasih kepada Najib dan kerajaan Malaysia bagi pemberian biasiswa kepada pelajar Thailand untuk belajar di universiti Malaysia serta menjalani latihan vokasional.

Abhisit berkata lawatan beliau memberikan peluang baik untuk memperakui perkongsian dan memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Hubungan kami berasaskan landasan yang kukuh. Kami jiran terdekat, berkongsi sempadan. Saya percaya kami berkongsi takdir yang sama,” katanya.

Perdana Menteri Thailand itu berkata mereka juga membincangkan cara untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Pertumbuhan kukuh yang kami nikmati dalam perdagangan dan pelaburan patut diteruskan, mungkin sedikit terjejas oleh kegawatan ekonomi pada masa ini, tetapi terdapat dua bidang yang kami rasa dapat diperluaskan lagi kerjasama kami, iaitu, industri tenaga dan halal.

“Saya fikir dalam kedua-dua bidang, terdapat banyak perkara yang boleh kami terokai dan eksplotasi agar melalui kedua-dua industri ini, kerjasama antara kami dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Abhisit berkata kedua-dua negara sudah menjalin kerjasama dalam industri makanan halal tetapi masih terdapat beberapa peluang yang boleh dieksploitasi dalam bidang tenaga, khususnya tenaga alternatif seperti kelapa sawit.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat peringkat tinggi secepat mungkin dengan 11 mesyuarat suruhanjaya bersama sedang diusahakan.

Mereka juga bersetuju untuk melawat sebuah sekolah di selatan Thailand sebagai tanda komitmen kedua-dua negara yang mahu menyaksikan keamanan dan kestabilan di sana dan untuk menghantar mesej dan isyarat yang betul serta bagi membina keyakinan.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga menyentuh mengenai pakej rangsangan masing-masing yang dilaksanakan ekoran kegawatan ekonomi dunia dan cara untuk meningkatkan kerjasama di kalangan rakan Asean dan rakan dialog.

“Sebagai pengerusi Asean, saya juga melahirkan penghargaan bagi sumbangan berharga Malaysia dalam kerjasama serantau dan dalam menangani isu kebimbangan bersama negara anggota Asean.

“Saya amat gembira dengan hasil mesyuarat hari ini dan berbesar hati menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk melawat Thailand dan saya dengan penuh rasa gembira mengumumkan yang beliau menerima jemputan ini,” kata Abhisit.

Sumber : Bernama

Leave a Reply