News_archive

Teruskan pembiayaan kewangan semua sektor

By Thursday April 16th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 14 April – Kerajaan akan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan institusi-institusi kewangan terus membiayai syarikat-syarikat yang layak dan berdaya maju agar kegiatan ekonomi negara tidak terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, institusi kewangan sepatutnya memberikan kemudahan pembiayaan kepada semua sektor dan tidak terhad kepada sektor yang dijamin oleh kerajaan atau mempunyai cagaran 100 peratus.

”Akibat krisis ekonomi global, institusi kewangan di dalam dan luar negara menjadi begitu berhati-hati bagi memberikan pembiayaan kerana tidak mahu menanggung risiko.

”Dengan sebab itu, syarat-syarat pembiayaan menjadi semakin ketat dan aliran kredit yang sangat diperlukan oleh syarikat-syarikat semakin kecil, ini memburukkan lagi keadaan dan boleh mengakibatkan lebih banyak perniagaan gulung tikar,” katanya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani perjanjian Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan 44 institusi kewangan yang menawarkan dua skim berkenaan bernilai RM10 bilion.

Dua skim tersebut diumumkan oleh Najib dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 10 Mac lalu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan adanya jaminan kerajaan ke atas pembiayaan oleh institusi kewangan kepada syarikat-syarikat terbabit, risiko pinjaman tidak berbayar kini sebahagian besarnya akan ditanggung oleh kerajaan.

”Kerajaan ternyata memainkan peranannya dalam memastikan institusi kewangan berasa lebih berkeyakinan untuk memberikan pembiayaan yang diperlukan oleh sektor perniagaan pada waktu yang mencabar ini,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply