News_archive

Teruskan Kecemerlangan Legasi Felda, Kata Najib

By Saturday January 14th, 2012 No Comments

TAIPING, 14 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat Felda yang mewarisi gagasan itu agar meneruskan legasi kecemerlangan Felda sehingga menjadi juara di persada dunia.

Najib berkata menjadi harapan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selaku pengasas Felda untuk melihat perjuangan yang dimulakannya dapat terus dilonjakkan ke tahap lebih tinggi demi memastikan kelangsungan Felda di masa hadapan.

“Namun apa yang ditinggalkan kepada kita semua, bukan saja jasa dan namanya untuk dikenang kita, tapi bagi kita yang merupakan pewarisnya. Pewarisnya bukan saya seorang, pewarisnya kita semua, termasuk anda semua yang menjadi peneroka Felda generasi pertama. Saya kira juga generasi kedua, merupakan generasi penerus juga boleh dikatakan sebagai pewaris.

“Kita semua sebagai pewaris, tanggungjawab kita adalah untuk memastikan bahawa perjuangan yang telah dimulakan beliau itu akan berkesudahan. Maknanya mencapai segala matlamat dan objektif supaya Felda bukan saja maju setakat ini, tapi terus mara ke hadapan, dilonjakkan ke tahap lebih tinggi, dijadikan juara persada dunia, bukan saja dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat Parlimen Larut di Felda Ijok, Selama dekat sini Sabtu.

Najib berkata pengorbanan ayahanda beliau sehingga menyembunyikan keadaan kesihatannya daripada pengetahuan keluarga dan mengutamakan tugas sebagai Perdana Menteri ketika itu wajar dihargai oleh rakyat, khususnya masyarakat Felda yang begitu dekat di hati beliau.

“Kalau tidak ada pemimpin seperti beliau, yang sanggup bekerja dengan begitu gigih, sehingga ke akhir hayatnya, walaupun dia tahu, dia dibebankan dengan satu penyakit yang mungkin tidak ada ubatnya, dia tidak beritahu pada sesiapa pun, kerana tidak mahu merisaukan kami semua, dengan berita yang sudah tentu amat sukar untuk ditanggung oleh kami semua.

“Tapi dia sanggup bekerja sampai saat akhir dia tak beritahu sesiapa, dia tak ambil cuti, dia bekerja, dia berkorban hayatnya, nyawanya, supaya kita semua dapat berjaya maju sebagai sebuah negara bangsa.

“Saya amat terharu (kerana) masyarakat Felda sampai pada hari ini tidak pernah lupa pada jasa ayah saya, yang secara kebetulan hari ini, 36 tahun lalu dia pulang ke Rahmatullah,” kata Najib lagi.

Sehubungan itu, Najib berkata beliau akan sedaya upaya memastikan Felda kekal relevan bagi merealisasikan hasrat ayahnya untuk melihat gagasan itu terus unggul.

Sementara itu, membidas tuduhan pembangkang yang sering mendakwa Felda bankrap, Najib berkata sekiranya dakwaan liar yang dilemparkan mereka benar, Felda tidak akan mampu membiayai projek-projek bermanfaat kepada golongan peneroka.

“Inilah hasil pentadbiran kita yang cekap, duit kita cukup, sampai orang tuduh kononnya Felda bankrap, hari ini tak berani buka mulut. Kalau mereka buka mulut, kita akan saman, jumpa di mahkamah. Mereka tak berani sebab mereka tabur fitnah.

“Felda tak bankrap, kalau tak, tak mungkin saya boleh lulus (peruntukan) RM200 juta untuk pinjaman bagi membesarkan rumah, tak mungkin boleh bayar bonus, duit raya, tak mungkin lancarkan program untuk bantu anak-anak generasi kedua lanjutkan pelajaran, dan tak mungkin kalau saya nak lulus kompleks sukan di Felda Ijok,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan rakyat kepada diri beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sepanjang lawatan kerja ke negeri ini.

“Saya rasa amat terangsang dengan sikap yang ditunjukkan oleh segenap lapisan rakyat di negeri Perak ini. Semoga dengan sokongan dan gambaran yang saya dapat saksikan, marilah kita doa ke hadrat Illahi, bumi Perak ini akan kekal dalam tangan BN.

“Sebagai Perdana Menteri, saya akan berusaha sedaya upaya, untuk memajukan negara kita, dan mensejahterakan rakyat, (kerana) segala-gala yang kita kecapi, dan kita nikmati, harus kita warisi kepada anak cucu kita,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply