News_archive

Terharu terima kunjungan PM

By Friday July 1st, 2011 No Comments

KOTA KINABALU: Keluarga Bakar Boso dan kira-kira 200 penduduk Kampung Likas gembira serta terharu menyambut Datuk Seri Najib Razak yang berkunjung ke rumah keluarga itu, di Kampung Likas Lama, di sini sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sabah, semalam.

Gembira kerana menerima kehadiran pemimpin tertinggi negara dan terharu berikutan kedatangan Perdana Menteri mengimbau kenangan kunjungan ayahanda beliau, bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, di rumah keluarga itu, 46 tahun lalu.
Pada 1965, Abdul Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, singgah di kampung berkenaan selepas lawatan ke Tuaran dan secara kebetulan berhenti di hadapan rumah Bakar yang ketika itu adalah Ketua Kampung atau Orang Tua pertama Kampung Likas.

Ketika kunjungan yang tidak disangka-sangka itu Abdul Razak sempat bertanya masalah penduduk di kampung berkenaan dan meluluskan peruntukan RM25,000 untuk membina Masjid Jamek Kampung Likas seperti diminta ketua kampung dan penduduk.

Cucu Bakar, Asad Mantamin, berkata kunjungan Najib selepas 46 tahun lawatan ayahandanya memberi makna yang besar bukan saja kepada keluarga Bakar, malah amat dihargai penduduk Kampung Likas terutama warga tua yang pernah menyambut kedatangan ayahanda beliau.

“Walaupun datuk saya sudah tiada, saya dan seluruh ahli keluarga Bakar serta penduduk Kampung Likas bangga dan terharu menerima kedatangan Perdana Menteri kerana kunjungan beliau mengulangi peristiwa kunjungan ayahandanya di kampung ini pada 1965.

“Abdul Razak adalah Timbalan Perdana Menteri pertama yang berkunjung ke kampung ini dan kali ini anaknya pula adalah Perdana Menteri pertama berkunjung ke sini,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di rumah keluarga Bakar, di Kampung Likas, di sini, semalam.
Najib tiba di rumah Bakar kira-kira jam 4 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam minum petang dengan ahli keluarga Bakar serta penduduk Kampung Likas.

Menyambut kedatangan Najib yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ialah Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Jumat Idris; Naib Ketua UMNO Sepanggar, Zaiton Mohd Kassim dan ahli keluarga Bakar.

Sejurus meninggalkan rumah Bakar, Najib yang ditemani Musa meneruskan program tinjauan mesra sambil minum petang di sebuah restoran di pekan Inanam, dekat sini dan meluangkan masa kira-kira sejam menemui hampir 5,000 rakyat di pekan itu.

Hadir sama pada program itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Johnny Goh.

Ketika berucap pada program itu, Najib mengumumkan peruntukan RM2 juta membina dewan pekan Inanam dan menyatakan kesediaan mengkaji penyaluran peruntukan untuk projek menaik taraf jalan raya luar bandar di kawasan Inanam.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply