TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI Pembangunan Usahawan 73. Mengikut…

By Friday October 25th, 2013 No Comments

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

Pembangunan Usahawan

73. Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam perniagaan. Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan para usahawan di kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka dapat menjadi ahli-ahli perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas, Kerajaan terus komited dalam mempastikan pembangunan usahawan atau entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi negara.

74. Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk menyediakan ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan idea yang boleh dikomersilkan, prasarana latihan dan inkubator, modul entrepreneurship, kemudahan pembiayaan serta pemasaran. Bagi melaksanakan pelan pembangunan usahawan ini, satu entiti National Entrepreneur Development Office akan diwujudkan di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

75. Sehubungan itu, semasa 4th Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini, saya telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau Malaysian Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC, sebagai pusat sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau prestasi entreprenur, mempunyai pengkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan akan memberi peruntukan awal sebanyak 50 juta ringgit bagi tujuan ini.

76. Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program 1Malaysia Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan aspek keusahawanan kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan. Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan data peserta telah dibangunkan.

77. Kerajaan mensasarkan seramai 5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun. Seterusnya, entreprenur 1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di MaGIC Centre. Selain itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global Social Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan muda di negara ini.

78. Bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, Kerajaan menggalakkan golongan siswazah menceburi bidang keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Bagi inisiatif ini, sukacita saya umumkan dana pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah sehingga 500 ribu ringgit dengan kadar faedah empat peratus.

#Bajet2014



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151675987455952/

Leave a Reply