Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN Meningkat Kecemerlangan... - Najib Razak

TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN Meningkat Kecemerlangan…

By Friday October 25th, 2013 No Comments

TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN

Meningkat Kecemerlangan Pendidikan

116. Sesungguhnya, tiap kali bajet dibentangkan, peruntukan terbesar diberikan kepada sektor pendidikan. Pendidikan adalah segalanya. Sejak zaman bahari, sesebuah ketamadunan bangsa tidak akan kekal lama jika seandainya tidak diakari dan dibajai dengan ilmu dan pengetahuan.

117. Menyisir tuntutan ini, Kerajaan komited untuk melonjakkan pencapaian tahap akademik dan kemahiran yang tinggi. Untuk itu, sejumlah 54.6 bilion ringgit atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 akan disediakan. Kerajaan juga akan mempastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM mencapai objektif bagi membawa Malaysia ke tahap kategori ‘sepertiga teratas’ dalam kedudukan pendidikan terbaik dunia, Insya Allah, dalam tempoh 15 tahun lagi.

118. Untuk terus memartabatkan kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat prasekolah hinggalah ke sekolah menengah, antara program yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pertama: Kerajaan amat perihatin tentang pendidikan awal anak-anak kerana tempoh ini amat kritikal dalam menentukan proses tumbesaran fizikal dan minda yang terbaik. Maka, kita memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit bagi program prasekolah dan menambah 93 lagi bilangan prasekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan;

Kedua: Melaksanakan program pemantapan profesion guru dengan memberi tumpuan kepada tugas mengajar, meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk itu, sebanyak 209 juta ringgit disediakan;

Ketiga: Memperluaskan akses internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar seluruh negara dengan peruntukan 168 juta ringgit; dan

Keempat: Membina 33 sekolah baru dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah-sekolah usang dengan peruntukan sebanyak 831 juta ringgit.

119. Pada pembentangan Bajet 2012 dan 2013, Kerajaan telah menyediakan masing-masing sebanyak satu bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraaan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

120. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 450 juta ringgit lagi kepada tabung ini. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 50 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 50 juta ringgit bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 50 juta ringgit untuk Sekolah Mubaligh, 50 juta ringgit disalurkan untuk Sekolah Berasrama Penuh, 50 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA, 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan manakala 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Rakyat.

#Bajet2014



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151676010920952/

Leave a Reply